Tanah kosong jangan dibiar, Mat Sabu seru rakyat bercucuk tanam

LocalFood
12 May 2026 • 12:28 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Tanah kosong jangan dibiar, Mat Sabu seru rakyat bercucuk tanam

SHAH ALAM, 12 MEI: Rakyat digalak memanfaatkan tanah kosong dan terbiar dengan aktiviti pertanian moden yang memberi hasil serta manfaat kepada komuniti menerusi Projek Ehsan Tani.

Menteri Pertanian Datuk Seri Mohamad Sabu berkata projek kelolaan kementeriannya bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut membantu usaha keterjaminan makanan negara.

"Seronok tengok tanaman hidup subur dan hasilnya pun cantik-cantik. Projek macam ni cukup baik sebab kita dapat tunjuk kepada rakyat bahawa kawasan rumah, tanah kosong dan tanah terbiar juga boleh dimanfaatkan untuk bercucuk tanam serta menambah sumber makanan keluarga.

"Bagi Bang Mat, tanam cili, bendi dan terung di halaman rumah pun sebenarnya satu langkah kecil yang memberi manfaat besar, terutama dalam membantu usaha keterjaminan makanan negara," katanya di Facebook.

Semalam, beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi menuai cili, bendi dan terung di halaman rumah menerusi plot projek berkenaan.

Program Ehsan Tani yang dipelopori KPKM dengan kerjasama PKPS sebagai operator antara usaha untuk menggalakkan lebih ramai rakyat mendekati pertanian moden dan pertanian komuniti.

Dalam pada itu, Mohamad menambah mereka yang berminat untuk memulakan projek sedemikian boleh menghubungi PKPS bagi mendapatkan nasihat, tunjuk ajar dan maklumat lanjut.

"Bang Mat berharap lebih banyak usaha seperti ini dapat diperluaskan demi manfaat rakyat dan masa depan sektor pertanian negara," katanya lagi.

Mac lalu, Mohamad menyarankan penjawat awam yang memiliki rumah bertanah memulakan tanaman sayur, sebagai langkah menambah bekalan makanan domestik sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan.

Menurutnya, pihaknya menggalakkan pegawai yang mempunyai ruang tanah di kediaman masing-masing memulakan tanaman asas seperti cili, terung dan kucai.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved