Tanah Melayu bukan isu perkauman

Politics
15 Sep 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tanah Melayu bukan isu perkauman

Reaksi negatif sesetengah pemimpin Melayu terhadap status negara ini sebagai bumi Melayu-Islam bukan sahaja mengejutkan, malah mengecewakan.

Ini kerana fakta yang sudah terang lagi bersuluh itu dilihat cuba dimanipulasi demi kepentingan politik sementara, termasuk untuk meraih dan mengekalkan sokongan daripada kelompok bukan Melayu yang rata-ratanya menolak hakikat tersebut.

Ia mengejutkan kerana mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan terus mendapat sokongan untuk kekal berkuasa. Dalam hal ini, mereka ibarat menang bersorak tetapi kampung tergadai.

Perbuatan sedemikian mungkin memberikan kemenangan kecil pada peringkat awal, namun akhirnya pasti membawa kerugian yang lebih besar. Antaranya ialah kehilangan hak terhadap milikan mereka sendiri.

Ia mengecewakan kerana perbuatan itu boleh dianggap sebagai menderhaka, iaitu sanggup mengkhianati kepentingan nusa sendiri dengan membelakangkan sifat Melayu-Islamnya. Selain itu, ia juga merupakan perbuatan tidak setia, yakni gagal mentaati negara, antaranya dengan tidak menyokong kebenarannya sebagai bumi Melayu-Islam.

Selanjutnya, apabila pihak yang diyakini untuk melindungi sesuatu akhirnya pula melakukan pembelotan.

Kenyataan tambahan daripada pemimpin Melayu ini bahawa negara ini tidak ditubuhkan untuk dimiliki oleh hanya satu etnik serta dikawal oleh satu agama sahaja, apatah lagi secara eksklusif, bukan sahaja sangat tidak bertanggungjawab, malah tidak benar sama sekali.

Sehubungan itu, rejim kita, yakni cara dan sistem pemerintahan semenjak tertubuhnya negara ini sama ada pada 1957 atau 1963, adalah berasaskan perkongsian kuasa antara etnik Melayu-Islam dengan bukan Melayu dan bukan Islam. Perkongsian ini dilakukan pertama-tamanya dalam bidang politik sebelum diikuti oleh bidang-bidang lain.

Oleh itu, sama sekali tidak harus ditimbulkan polemik mengenai pemilikan negara ini yang didakwa secara eksklusif berada dalam tangan etnik Melayu sahaja. Hakikat yang tidak benar ini dapat dilihat dengan jelas pada setiap kerajaan memerintah selama puluhan tahun. Ia juga pasti diteruskan pada masa akan datang oleh mana-mana kerajaan memerintah nanti.

Ini kerana inilah rejimnya di Malaysia, iaitu penglibatan aktif bukan Melayu dan bukan Islam dalam pelbagai institusi negara bagi mengurus tadbir negara ini sebagai bumi Melayu-Islam yang majmuk.

Selain sikap tidak bertanggungjawab, kenyataan sedemikian juga amat menjahanamkan kerana menimbulkan pelbagai kesan negatif. Antaranya, membangkitkan emosi dan sikap tidak positif dalam kalangan etnik bukan Melayu. Sehubungan itu, mereka mengambil kesempatan untuk menegaskan negara ini adalah milikan semua etnisiti yang hendaklah dilayan secara sama rata.

Selain polemik mengenai pemilikan negara ini oleh etnik Melayu sahaja, pemimpin Melayu ini turut memperingatkan bahawa penubuhan Persekutuan Malaysia bukan sesekali bertujuan untuk dimiliki oleh pihak tertentu sahaja, apatah lagi secara eksklusif.

Sehubungan dengan peringatan tersebut, ditegaskan bahawa semua wilayah merupakan rakan kongsi yang setara. Justeru, tiada mana-mana wilayah yang mempunyai martabat lebih tinggi daripada wilayah-wilayah lain dalam Persekutuan Malaysia.

HAKIKAT SEJARAH

Sebenarnya, kesemua serangan ini, termasuk persoalan Malaysia bukan ditubuhkan untuk hanya satu pihak dan bukan dimiliki oleh etnik Melayu sahaja, timbul setelah ada beberapa pihak mula menggunakan ungkapan ‘Tanah Melayu’ secara lebih kerap.

Ia berlaku selepas pihak tertentu yang secara terang-terangan mahu menolak status negara ini sebagai bumi Melayu-Islam dengan mempertikaikan penggunaan ungkapan ‘Tanah Melayu’.

Apabila diteliti, penggunaan ungkapan ‘Tanah Melayu’ jelas merujuk satu wilayah tertentu dalam persekutuan ini. Ia tidak sesekali digunakan untuk merujuk keseluruhan persekutuan yang terdiri daripada dua wilayah lain. Oleh itu, langsung tiada keperluan untuk menjadikannya sebagai satu polemik, apatah lagi sehingga mencetuskan perbahasan sengit dan serangan dahsyat.

Dalam hal ini, Tanah Melayu, yang juga disebut sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya dalam bahasa Inggeris. Ia merupakan rujukan kepada keseluruhan Semenanjung utama di Asia Tenggara yang pernah dikuasai British sehingga dikenali sebagai British Malaya.

Selain itu, juga sering disebut sebagai ‘Malay Peninsula’ dalam bahasa Inggeris, (Semenanjung Melayu). Dengan jolokan Semenanjung Melayu, ia tidak syak lagi merujuk kepada milikan etnik Melayu dari segenap segi.

Nama Malaya, walaupun membawa pengertian Tanah Melayu, tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah dalam penggunaannya. Dengan kata lain, istilah tersebut secara umumnya tidak sesekali menimbulkan masalah komunikasi.

Hal ini berbeza dengan penggunaan istilah Tanah Melayu, yang dalam bahasa Inggeris bermaksud ‘Malay Land’. Walaupun begitu, istilah ini tidak mudah, malah tidak mahu diterima dalam komunikasi, biarpun digunakan seadanya kerana itulah endonimnya.

Sehubungan itu, endonim ialah nama asal dan natif yang digunakan sendiri oleh sesuatu kelompok untuk merujuk kepada kaum, bahasa dan penempatan mereka. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada kaum Melayu, bahasa Melayu dan Tanah Melayu.

Keengganan menggunakan dan menerima ungkapan ‘Tanah Melayu’ antaranya berpunca daripada muatan makna yang ada pada istilah itu dalam bahasa Melayu, tetapi tidak dalam bahasa Inggeris. Muatan makna ialah perkaitan emosi, psikologi dan budaya yang lebih luas daripada makna harfiahnya.

Dalam konteks ini, ‘Tanah Melayu’ difahami oleh etnik bukan Melayu sebagai lambang kekuasaan penuh dan mutlak etnik Melayu. Ia seolah-olah menggambarkan etnik Melayu sebagai kelompok superior yang bukan sahaja menjadi pemilik tempat, malah kehendaknya perlu dituruti.

Inilah masalahnya apabila muatan makna itu boleh bertukar berlebihan, iaitu apabila kadar makna, emosi yang kuat dan konotasi perkauman yang sangat tinggi dikaitkan dengan sesuatu ungkapan oleh pihak tertentu.

Selain persoalan muatan makna ini, nama Malaya yang lebih banyak digunakan berbanding Tanah Melayu juga sudah menjadi sebahagian daripada sejarah setelah penubuhan Persekutuan Malaysia. Ini bermakna nama itu tidak lagi digunakan dan digantikan dengan nama Malaysia, antaranya dalam bentuk Semenanjung Malaysia atau Malaysia Barat.

Dengan kata lain, Malaya bukan lagi nama yang digunakan dalam konteks moden tetapi sebelum tertubuhnya Persekutuan Malaysia. Pun begitu, ini tidak bermakna nama tersebut tidak sah untuk digunakan sekarang bagi merujuk kepada wilayah yang sama.

Tiada kesalahan untuk menggunakan semula nama sejarah tersebut pada masa ini. Ini kerana itulah nama sah yang pernah digunakan sebelum ditinggalkan setelah tertubuhnya Persekutuan Malaysia dan kini mahu digunakan kembali.

Sehubungan dengan peninggalan sementara ini, antaranya kerana nama Malaysia, walaupun merupakan nama baharu, masih membawa pengertian yang sama, iaitu Malay Land dengan cakupan dua wilayah Melayu yang lain.

Bagi Sabah dan Sarawak, jika tidak pun Melayu dalam erti sebenar dalam kerangka Nusantara, iaitu Alam Melayu, kedua-duanya merupakan wilayah Melayuan.

Sesungguhnya, amat tidak wajar mana-mana pihak menyerang penggunaan ungkapan ‘Tanah Melayu’, khususnya, dan secara umumnya nama Melayu bagi entiti Melayu yang lain sebagai rasis. Ini kerana ia tidak sesekali bersifat demikian, malah itulah rujukan yang sah dari segi moral, legal dan lain-lain.

Penggunaannya juga bukan satu isu yang perlu diperdebatkan, apatah lagi dilabel sebagai rasis sehingga dianggap mendiskriminasi etnik lain.

Nama Tanah Melayu dalam bahasa Melayu untuk merujuk kepada tempat ini di Malaysia merupakan hakikat yang sudah lama wujud dan tidak seharusnya disekat penggunaannya jika mahu diaktifkan semula.

Oleh itu, serangan terhadap penggunaan nama tersebut tidak sepatutnya berlaku. Namun, ia tetap berlaku dan ini menunjukkan pihak yang menyerang itu cetek pemikirannya. Hakikatnya, perkara ini begitu mudah difahami dan tidak memerlukan perbahasan yang panjang untuk mendapatkan jawapannya.

Jawapannya begitu jelas, iaitu wilayah yang dimaksudkan itu memang pernah dikenali sebagai Tanah Melayu atau Malaya. Kedua-duanya membawa makna yang sama dan neutral, bukan rasis, iaitu ‘bumi Melayu’ dalam bahasa Melayu dan ‘Malay Land’ dalam bahasa Inggeris. –UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

The post Tanah Melayu bukan isu perkauman appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved