
BATANG KALI - Polis mengesahkan waris seorang lelaki datang ke lokasi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting Highlands-Batang Kali, hari ini untuk membuat semakan berhubung status mangsa.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah berkata, hasil semakan mendapati, lelaki itu sememangnya disenaraikan sebagai mangsa yang masih hilang.
Menurutnya, anak mangsa sudah membuat laporan polis di Balai Polis Gohtong Jaya berhubung kehilangan bapanya itu.
"Isteri mangsa tersebut adalah warga asing dan mereka berasal dari Kuala Lumpur," katanya.
Getaran hari ini melaporkan, empat individu termasuk warga asing, dipercayai ahli keluarga mangsa yang masih hilang dalam tragedi tanah runtuh tersebut hadir ke tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali-Gohtong Jaya, di sini, petang tadi.
Keempat-empat individu terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki termasuk warga asing itu dilihat menuju ke khemah Pusat Operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira jam 4 petang.
Seorang daripadanya dilihat mengalirkan air mata sebaik bercakap dengan pegawai polis yang bertugas di khemah berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Suffian berkata, setakat petang ini, 125 pegawai dan anggota keselamatan sedang bertugas di tapak operasi menggunakan 11 jengkaut bersama sembilan anjing pengesan (K9), bagi mencari dan mengesan mangsa yang hilang.
"Setakat ini belum ada perkembangan terbaru dan pasukan penyelamat sedang bertungkus lumus.
"Kita juga tidak akan hilang keyakinan walaupun keletihan dan akan sentiasa meningkatkan usaha dalam mengesan dan mencari mangsa yang masih hilang," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Setakat ini, 61 mangsa berjaya diselamatkan dalam tragedi terbabit, manakala 24 lagi disahkan meninggal dunia dan sembilan dilaporkan masih hilang.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih diteruskan bergantung kepada keadaan cuaca, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku terhadap pasukan SAR. - Getaran, 19 Disember 2022
