Tanah runtuh di lereng bukit Setia Alam, tiada mangsa dilaporkan

19 Nov 2026 • 5:08 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Tanah runtuh di lereng bukit Setia Alam, tiada mangsa dilaporkan

SHAH ALAM, 19 NOV: Runtuhan tanah di lereng bukit berdekatan Pangsapuri Sri Pinang di Persiaran Setia Makmur, Setia Alam, di sini hari ini dilaporkan tidak melibatkan sebarang mangsa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar dalam kenyataan berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 11.30 pagi tadi.

Beliau berkata operasi itu disertai oleh sepasukan tujuh pegawai dan anggota bersama-sama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan.

"Setibanya di lokasi, pemeriksaan mendapati berlaku tanah runtuh di lereng bukit kawasan itu yang dianggarkan setinggi 30 x 50 meter.

“Keadaan tanah didapati statik dan kejadian tidak melibatkan mangsa serta bangunan," katanya dan menambah tindakan lanjut kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis.

Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi hantaran di aplikasi Thread memaklumkan jalan di persiaran tersebut telah ditutup buat sementara waktu atas faktor keselamatan.

Image from: Tanah runtuh di lereng bukit Setia Alam, tiada mangsa dilaporkan
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menutup sementara laluan di Persiaran Setia Makmur, Setia Alam, susulan kejadian tanah runtuh berhampiran Pangsapuri Sri Pinang pada 19 November 2026 sebagai langkah keselamatan. Foto Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam

Hantaran itu memaklumkan tali keselamatan dan tali rentang telah dipasang di sekitar kawasan terlibat bagi menghalang pengguna jalan raya daripada memasuki kawasan berisiko.

“Papan tanda amaran turut diletakkan sebagai pemakluman kepada pengguna jalan raya berkaitan dengan kejadian dan penutupan laluan tersebut.

“Susulan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi arahan penutupan jalan serta menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan dilaksanakan,” menurut hantaran itu.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi video dan gambar yang memaparkan jalan di kawasan tersebut ditutup sebagai langkah keselamatan dengan dikawal pihak berkuasa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved