Tanah runtuh di Sandakan: Penduduk dengar bunyi kuat kayu patah, tanah menggelongsor

LocalEnvironment
11 Mar 2026 • 9:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebuah bangunan di pusat bandar diarahkan untuk dikosongkan berikutan kejadian tanah runtuh yang mengakibatkan seorang lelaki warga emas, Agustine Frederick J Lingam, 76, maut selepas tertimbus dalam runtuhan itu ketika cuba menghidupkan generator. - Foto: Bernama

SANDAKAN - Kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang berhampiran sebuah hotel di Bangunan Blok 10 di sini pagi tadi, yang menyebabkan seorang lelaki warga emas maut merupakan pertama kali berlaku di kawasan itu.

Seorang penghuni di Bangunan Blok 10, Nur Hayati Muhasang, 39, berkata, insiden seumpama itu tidak pernah berlaku sejak sekian lama dia tinggal di kawasan itu.

"Sebelum kejadian tanah runtuh iaitu semasa sahur saya ada dengar bunyi kuat seperti bunyi kayu patah dan saya melihat ke luar tetapi keadaan masih gelap, tidak nampak apa yang berlaku hanya dengar bunyi.

"Kali kedua saya dengar lagi bunyi kuat seperti tanah ‘bergelongsor’, ketika ini saya sudah takut dan tarik anak keluar rumah dan lari turun bangunan, saya hanya fikir untuk selamatkan anak dan diri,” katanya kepada Bernama.

Hingga kini, Nur Hayati berkata, bunyi kuat kejadian pokok tumbang dan tanah runtuh pada pagi tadi masih terngiang selain rasa gementar juga belum hilang.

Seorang lagi penghuni bangunan sama, Wong Yun Ming, 72, berkata dia tidak menyedari kejadian itu hingga diberitahu rakan yang datang mengetuk pintu rumahnya.

"Saya risau selepas ini ada lagi kejadian susulan pokok tumbang dan tanah runtuh,” katanya.

Nur Hayati dan Wong antara penghuni Bangunan Blok 10 yang terjejas dan kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Bandar Sandakan.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan, Walter Kenson berkata, lokasi tanah runtuh diisytihar sebagai kawasan bencana selepas pemeriksaan dijalankan.

"Buat sementara waktu kawasan terjejas tidak selamat untuk didiami hingga pemeriksaan lanjut dilakukan dan satu PPS dibuka untuk penduduk yang terjejas,” katanya. - Bernama