Warga emas maut tertimbus tanah runtuh

11 Mar 2026 • 11:21 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seramai 10 anggota dikejar ke lokasi kejadian.

SANDAKAN - Seorang lelaki warga emas maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di belakang sebuah bangunan hotel di pusat bandar di sini, pada pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, Agustine Frederick J Lingam, 76, yang juga kakitangan hotel tersebut ditemukan pada kedalaman kira-kira separuh daripada badannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.39 pagi.

Katanya, seramai 10 anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 10 kilometer dari BBP Sandakan.

"Komander Operasi melapor kejadian berlaku semasa cuaca dalam keadaan hujan lebat yang menyebabkan bekalan elektrik di hotel terputus.

"Kakitangan hotel kemudiannya cuba menghidupkan genset yang terletak di bahagian belakang bangunan hotel dan menurut saksi di lokasi, mangsa telah tertimbus tanah runtuh semasa cuba menghidupkan genset tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, Ketua Operasi membuat 'size-up' dan mendapati terdapat seorang mangsa tertimbus separuh badan oleh runtuhan tanah.

"Pasukan bomba seterusnya bertindak mengeluarkan mangsa dengan melakukan cari dan menggali menggunakan peralatan penyodok.

"Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 7.14 pagi, sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk pemeriksaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Tambah beliau lagi, pemasangan sawar-sawar turut dilakukan di lokasi telah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud.

"operasi ditamatkan pada jam 8.19 pagi setelah memastikan keadaan selamat," katanya.