
GEORGE TOWN – Bunyi dentuman kuat dari belakang rumah telah mengejutkan seorang penduduk di lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Seri Permai, Paya Terubong di sini, hari ini.
Ooi Heng Keng, 62, berkata, dia menyedari kejadian tanah runtuh berhampiran kawasan belakang kediamannya selepas hujan lebat berterusan, kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.
Rumah Heng Keng terletak berhampiran dengan kediaman mangsa yang maut akibat runtuhan tanah, Dr. Wong Kar Lin, 73.
Menurutnya, dia segera keluar untuk melihat keadaan tersebut sebelum mendapati berlaku runtuhan tanah di kawasan berkenaan bersama aliran air.
“Saya dengar bunyi kuat…. ‘bung’ dari belakang rumah dan terus keluar lihat dari tepi kediaman di situ (rumah mangsa). Memang ada berlaku tanah runtuh di belakang rumah.
“Pada mulanya, saya tidak tahu ada mangsa sehinggalah diberitahu jiran-jiran lain. Rumah saya juga terjejas, air selut masuk di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, tadi.
Katanya lagi, hujan lebat yang melanda kawasan itu sejak pagi tadi dipercayai menjadi punca kejadian lebih buruk berbanding sebelum ini.
“Memang setiap kali hujan akan ada air mengalir turun dari kawasan pembinaan di atas bukit itu, tetapi tidaklah seteruk kejadian pagi ini,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBP) telah mengeluarkan arahan henti kerja terhadap projek pembangunan berhampiran lokasi kejadian tanah runtuh berkenaan.
Datuk Bandar MBPP, Datuk A. Rajendran berkata, projek berkenaan membabitkan pembinaan jalan raya dan pangsapuri yang sudah berjalan lebih setahun.
“Buat masa ini, arahan henti kerja sudah dikeluarkan terhadap projek pembangunan berhampiran lokasi tanah runtuh itu.
“Kami juga menasihatkan penduduk lain supaya berpindah. Pejabat Tanah akan menguruskan urusan berkenaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Tanah runtuh Paya Terubong: ‘Dengar bunyi ‘bung’, rupanya tanah runtuh belakang rumah’ appeared first on Kosmo Online.






