PASIR PUTEH - Seorang wanita yang baru tiga hari bergelar pengantin baharu ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kes penemuan mayat janin berusia lima bulan yang ditanam di tepi sebuah rumah di Kuala Krai dipercayai berlaku pada 2024.
Perintah reman terhadap wanita berusia 30 tahun itu dikeluarkan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan di Mahkamah Majistret Pasir Puteh di sini pada Isnin.
Suspek yang pernah berkahwin dan mempunyai tiga anak sebelum ini menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai pada kira-kira jam 10.30 malam Ahad.
Turut ditahan reman ialah bekas suaminya, 32, yang bekerja sebagai buruh binaan.
Terdahulu, wanita terbabit tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi dibawa oleh anggota polis dengan berbaju lokap ungu dan tangan bergari.
Polis sebelum ini menerima laporan mengenai penemuan janin berusia lima bulan yang ditanam di tepi sebuah rumah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Batu Mengkebang.
Janin berkenaan dipercayai hasil hubungan sulit wanita terbabit dengan teman lelakinya selepas dia bercerai.
Perbuatan itu terbongkar selepas berlaku perselisihan faham antara wanita berkenaan dengan bekas suaminya sebelum lelaki itu membuat laporan polis.
Kedua-dua suspek direman selama empat hari hingga Khamis ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit.






