
KUALA KRAI – Seorang wanita dan bekas suaminya dicekup bagi membantu siasatan berhubung kes menanam janin dipercayai berusia lima bulan di tepi sebuah rumah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Batu Mengkebang di sini kira-kira dua tahun lalu.
Wanita yang berusia 30 tahun dan bekas suaminya berusia 32 tahun ditahan selepas mereka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai di sini kira-kira pukul 10.30 malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Mohd. Maizan Mustafa berkata, tangkapan terhadap kedua-dua individu dijalankan selepas lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan itu membuat laporan polis kira-kira pukul 11 pagi semalam mengenai perbuatan bekas isterinya itu.
Katanya, siasatan awal mendapati, wanita terbabit dipercayai menggugurkan kandungannya yang berusia lima bulan sebelum menanam janin tersebut di tepi rumah.
“Pasangan itu mempunyai tiga orang anak dan mereka sudah berpisah. Wanita tersebut dikatakan mempunyai kekasih selepas bercerai dengan bekas suaminya.
“Hasil perhubungan dengan teman lelakinya, wanita itu dipercayai hamil lima bulan sebelum bertindak menggugurkan kandungannya bagi mengelakkan keluarganya tahu mengenai perkara tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohd. Maizan memberitahu, lelaki itu dipercayai membuat laporan polis berhubung perbuatan bekas isterinya selepas berlaku perselisihan faham antara mereka selepas bercerai. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas pasangan suami isteri dicekup tanam janin tepi rumah appeared first on Kosmo Digital.






