Tang Jie-Clarissa teruskan kemaraan ke pusingan kedua Korea Masters

5 Aug 2026 • 6:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tang Jie-Clarissa teruskan kemaraan ke pusingan kedua Korea Masters

PETALING JAYA: Chen Tang Jie-Clarissa San ketuai kemaraan dua lagi beregu campuran negara ke pusingan kedua, selepas mengetepikan lawan masing-masing pada Kejohanan Badminton Korea Masters di Ansan, Korea Selatan, hari ini.

Beregu pecah ganding yang kini menghuni ranking ke-137 dunia itu menewaskan rakan senegara, Low Han Chen-Chan Wen Tse 21-19, 21-18 dalam masa 35 minit di peringkat 32 terbaik.

Pada pusingan kedua, esok, Tang Jie-Clarissa akan berdepan gandingan No. 45 dunia, Wu Hsuan Yi-Yang Chu Yun, selepas wakil Taiwan itu menyingkirkan beregu gabungan dua negara, Malaysia dan Amerika Syarikat, Lim Ming Hong-Stella Pan 21-10, 21-5 dalam masa 19 minit.

Turut mara ke peringkat 16 terbaik, pasangan muda Malaysia, Loo Bing Kun-Noraqilah Maisarah Ramdan yang mengalahkan wakil India, Dhruv Rawat-Maneesha K 18-21, 21-14, 21-17 dalam masa 49 minit.

Bing Kun-Noraqilah yang kini menghuni ranking ke-112 dunia akan menghitung pertemuan dengan beregu Australia, Andika Ramadiansyah-Nozomi Shimizu pada pusingan seterusnya.

Satu lagi beregu muda negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin membenam beregu Jepun, Kenta Matsukawa-Sumire Nakade 14-21, 21-15, 21-10 dalam masa 42 minit.

Pasangan ke-72 dunia itu bakal berdepan wakil tuan rumah, Kim Joon Young-Lee Yu Lim bagi memburu slot ke suku akhir pada kejohanan berstatus Super 300 itu.

Bagaimanapun, nasib berbeza dialami satu lagi beregu muda Malaysia, Wee Yee Hern-Vanee Gobi yang ditunjukkan jalan keluar oleh gandingan tuan rumah, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong 12-21, 20-22 dalam masa 34 minit. – UTUSAN

The post Tang Jie-Clarissa teruskan kemaraan ke pusingan kedua Korea Masters appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved