Tang Jie-Ee Wei kini juara dunia, hadiah Hari Kebangsaan paling bermakna

LocalFootball
31 Aug 2025 • 8:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Cheng Tang Jie (kiri) dan Toh Ee Wei (kanan) mencipta sejarah tersendiri muncul juara dunia. FOTO: AFP

BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menghadiahkan detik penuh gemilang buat Malaysia apabila muncul juara Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, sebentar tadi.

Lebih manis, kejayaan bersejarah itu hadir pada Hari Kebangsaan ke-68, sekali gus menjadikannya hadiah paling bermakna buat seluruh rakyat Malaysia.

Dalam aksi penuh mendebarkan di Adidas Arena, pasangan negara itu turun dengan semangat membara dan langsung tidak gentar dengan reputasi lawan mereka iaitu gandingan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin yang merupakan pilihan kedua kejohanan.

Tang Jie-Ee Wei bermula garang sejak set pertama apabila mempamerkan aksi dominan dengan pukulan bertenaga dan corak permainan pantas, sekali gus menundukkan lawan mereka dengan kemenangan meyakinkan 21-15.

Momentum cemerlang itu diteruskan pada set kedua apabila beregu negara yang merupakan pilihan keempat kejohanan itu terus menekan pihak lawan dengan variasi serangan yang cukup memukau sehingga membuatkan pasangan China itu buntu mencari rentak.

Walaupun Zhen Bang-Ya Xin cuba bangkit di pertengahan permainan, ketenangan dan konsistensi Tang Jie-Ee Wei menjadi kunci untuk mengesahkan kemenangan straight set 21-14.

Kemenangan straight set itu mengesahkan pasangan di ranking keempat dunia tersebut sebagai juara dunia baharu, sekali gus mencipta sejarah tersendiri buat acara beregu campuran Malaysia di pentas antarabangsa.

Selepas ini, tumpuan peminat tanah air terarah kepada beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang bakal beraksi dalam satu lagi final menentang gandingan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, sebentar lagi.