Tang Jie-Ee Wei, Soon Huat-Shevon Lai tentukan juara di Switzerland

24 Mar 2024 • 6:59 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tang Jie-Ee Wei mengesahkan slot ke perlawanan akhir selepas menewaskan pilihan keenam Ye Hong-wei-Lee Chia-hsin dari Taiwan.

image is not available
Soon Huat-Shevon Lai turut mara ke perlawanan akhir selepas menjinakkan pilihan keenam, Robin Tabeling-Selena Piek 21-18, 21-16.

BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie akan membuat perhitungan di pentas akhir Kejuaraan Badminton Terbuka Switzerland Super 300 di Saint Jakobshalle, Basel selepas menyingkirkan lawan masing-masing pada Ahad.

Di separuh akhir, Tang Jie-Ee Wei pilihan ketiga mengesahkan slot ke perlawanan akhir selepas menewaskan pilihan keenam Ye Hong-wei-Lee Chia-hsin dari Taiwan, straight set 21-16, 21-12 dalam masa 38 minit.

Kemenangan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei melebarkan rekod kemenangan ke atas Hong-wei-Chia-hsin kepada enam dalam enam pertemuan.

Sebagai rekod, ini merupakan kemaraan ke pentas perlawanan akhir kedua 2024 bagi Tang Jie-Ee Wei selepas muncul naib juara Thailand Masters Super 300 pada Februari lalu.

Di Stadium Nimibutr, Bangkok, Tang Jie-Ee Wei tewas straight set kepada wakil tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai straight set, 12-21, 18-21 dalam aksi 49 minit.

Sementara itu, Soon Huat-Shevon Lai mara ke final selepas menjinakkan pilihan keenam, Robin Tabeling-Selena Piek dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Soon Huat-Shevon Lai menewaskan Robin-Selena, 21-18, 21-16 dalam masa 37 minit melebarkan tiga kemenangan perlawanan sebelum ini, sekali gus final ketiga berturut-turut dalam kejuaraan Super 300 tersebut.

Pada edisi 2023, Soon Huat-Shevon Lai tewas 17-21, 21-19, 17-21 kepada wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dalam perlawanan akhir.

Edisi 2022, wakil Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Lohau menafikan impian Soon Huat-Shevon Lai dengan meraih kemenangan 12-21, 21-18, 21-17.

Kali terakhir pemain negara berentap sesama sendiri di perlawanan akhir adalah pada Malaysia Masters 2017 menemukan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menentang Soon Huat- Shevon Lai.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved