Tangani segera masalah kesihatan mental kanak-kanak

21 May 2024 • 12:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Shuhaily

KUALA LUMPUR - Masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak harus ditanangani dan diberi perhatian serius ekoran kejadian seksual melibatkan usia sangat muda.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kes seksual dalam kalangan kanak-kanak membimbangkan apabila seawal usia lima tahun sudah terjebak dengan kesalahan tersebut.

Beliau berkata, kejadian itu jelas menimbulkan kebimbangan banyak pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri.

Untuk itu kata beliau, satu usaha bersama dengan hospital yang mempunyai kepakaran membabitkan kanak-kanak perlu digerakkan, supaya jenayah seumpama itu dapat dicegah.

"Kerjasama atau kolaborasi seumpama ini perlu dilaksanakan bersama pihak pakar dan hospital yang mempunyai kemudahan canggih seperti Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Perbincangan atau kajian membabitkan konteks kesihatan mental untuk membantu polis dalam menangani kepincangan dalam masyarakat pada masa ini dan mendatang.

"Mungkin selepas ini, pihak polis boleh duduk bersama untuk berbincang dengan lebih lanjut," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program lawatan hospital sempena Hari Polis ke-217 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani HPKK UKM.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, akses mudah dan terbuka kepada pornografi mengundang kes jenayah seksual dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, perkembangan pornografi pada masa kini sangat berbeza dengan zaman sebelum ini.

Untuk itu katanya, satu perbincangan yang lebih menyeluruh perlu dilakukan dengan segera.

Kata beliau, pihak polis sudah membangkitkan isu tersebut di peringkat kementerian.

"Saya merasakan perkara ini mungkin lebih mendalam dalam konteks penggubalan undang-undang membabitkan konteks jenayah siber," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!