Tangga jeti penumpang Pulau Pangkor berbahaya, perlu dibersihkan

31 Aug 2026 • 2:16 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tangga jeti penumpang Pulau Pangkor berbahaya, perlu dibersihkan

LUMUT – Keadaan tangga di jeti penumpang Pulau Pangkor yang tidak dibersihkan sehingga membahayakan penggunanya perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Norhaslinda Zakaria berkata, keadaan itu telah berlanjutan sejak sekian lama walaupun banyak aduan telah dilakukan mengenai keadaan tangga berkenaan.

“Saya menerima lagi aduan daripada operator feri dan orang awam mengenai keadaan jeti penumpang Pulau Pangkor yang sehingga hari ini masih belum selesai.

“Tangga di hujung jeti dilaporkan tidak selamat untuk digunakan, menyebabkan penumpang terpaksa menunggu di luar dan proses turun naik feri terganggu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam masa sama, isu kebersihan jeti juga terus menjadi rungutan sehingga pelancong memarahi operator feri kerana keadaan yang tidak terurus.

Beliau berkata, perkara berkenaan bukan kali pertama diadukan kepada pihak bertanggungjawab.

“Aduan telah dibuat beberapa kali kepada pihak berkaitan, namun malangnya masalah yang sama terus berulang.

“Saya memohon pihak SSI (Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak) mengambil tindakan segera untuk membaiki kemudahan yang rosak dan memastikan aspek kebersihan serta keselamatan jeti diberi keutamaan.

“Jangan tunggu sehingga berlaku kemalangan atau kejadian yang tidak diingini barulah tindakan diambil,” katanya.

Norhaslinda berkata, Pulau Pangkor merupakan destinasi pelancongan utama Negeri Perak.

“Keadaan jeti yang rosak dan kotor bukan sahaja membahayakan penumpang, malah memberi cerminan yang sangat buruk kepada imej pelancongan Pulau Pangkor.

Keselamatan rakyat dan pengalaman pelancong tidak boleh dipandang ringan. Mohon tindakan segera daripada pihak SSI,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Tangga jeti penumpang Pulau Pangkor berbahaya, perlu dibersihkan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved