Feri tidak lancar jejas pelancongan domestik Langkawi

LocalTravel
10 Aug 2026 • 4:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Feri tidak lancar jejas pelancongan domestik Langkawi

ALOR SETAR: Gangguan dan ketidakstabilan perkhidmatan feri ke Langkawi telah menjejaskan kemasukan pelancong domestik ke pulau peranginan itu kerana tempoh menunggu yang lama memberi pengalaman kurang menyenangkan kepada pengunjung.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keadaan itu perlu diberi perhatian serius kerana pelancong domestik merupakan antara segmen utama yang bergantung kepada perkhidmatan feri untuk berkunjung ke Langkawi.

“Apabila feri tidak dapat beroperasi dengan baik pelancong domestik akan terjejas, inilah isu yang membelenggu Langkawi sejak sekian lama kerana pelancong domestik bergantung kepada feri,” katanya pada sidang akhbar selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Sementara itu, ujar Muhammad Sanusi, keadaan itu berbeza dengan perkhidmatan penerbangan yang mampu menyediakan sehingga 25 penerbangan sehari ke Langkawi, sehingga kadar penginapan hotel empat dan lima bintang mencecah 70 peratus.

Katanya, situasi itu menunjukkan permintaan terhadap Langkawi sebagai destinasi pelancongan masih kukuh namun isu pengangkutan laut perlu ditangani bagi memastikan sektor pelancongan domestik terus berkembang.

“Dalam bidang perhotelan, kadar 70 peratus itu cukup memberangsangkan. Tetapi hotel tiga bintang ke bawah banyak dihuni pelancong domestik dan mereka bergantung kepada feri,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, masalah itu turut berkait dengan kerja-kerja pengerukan laluan feri yang perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan pergerakan feri tidak terjejas terutama ketika air surut.

Beliau berkata, jumlah perjalanan feri juga tidak konsisten mengikut musim, dengan sekitar tiga perjalanan sehari pada waktu biasa dan hanya meningkat kepada lima hingga lapan perjalanan ketika musim puncak ketika ini.

Menurutnya, pengurusan perkhidmatan feri merupakan bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT) justeru kerajaan Persekutuan perlu mengambil perhatian terhadap keperluan pengangkutan Langkawi.

“Kita pernah minta kerajaan Persekutuan mempertimbangkan subsidi khas untuk feri kerana perjalanan ke Langkawi agak panjang dan kos minyak juga tinggi,” katanya.

Beliau pada masa sama menegaskan Langkawi tidak wajar dibandingkan secara terus dengan Phuket atau Krabi kerana kedua-dua destinasi itu mempunyai akses darat ke tanah besar berbeza dengan Langkawi yang merupakan sebuah pulau sepenuhnya.

Katanya, selain memperkukuh sistem pengangkutan, kerajaan Persekutuan juga perlu mempertimbang penambahan barangan dalam senarai bebas cukai serta mengekalkan keistimewaan Langkawi bagi pembelian kenderaan bernilai tinggi sebagai tarikan kepada pelancong. – UTUSAN

The post Feri tidak lancar jejas pelancongan domestik Langkawi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved