Tangguh cukai karbon, beri ruang industri sesuaikan operasi, elak kos tambahan

LocalEnvironment
6 Oct 2026 • 3:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tangguh cukai karbon, beri ruang industri sesuaikan operasi, elak kos tambahan

PUTRAJAYA- Penangguhan cukai karbon disifatkan boleh memberi ruang sementara kepada industri terlibat untuk menyesuaikan operasi serta mengelakkan kos tambahan dalam jangka masa pendek.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Dr. Saravanan Thambirajah berkata, bagaimanapun manfaat kepada pengguna bergantung kepada sejauh mana keadaan itu membantu mengekalkan harga berpatutan.

Katanya, perlu dibezakan dua keputusan ini iaitu penangguhan cukai karbon melibatkan kos berkaitan pelepasan karbon, manakala pemberhentian pengecualian menyeluruh di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) melibatkan pematuhan industri terhadap kawalan pencemaran udara.

“Penangguhan cukai tidak bermaksud tanggungjawab mengawal pencemaran turut ditangguhkan.

“Bagi sektor besi, keluli dan tenaga yang menjadi tumpuan awal cadangan cukai karbon, penangguhan ini berpotensi mengurangkan tekanan kos berbanding jika cukai dilaksanakan sekarang.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh menjamin bahawa harga besi, bahan binaan atau elektrik akan kekal stabil hanya kerana cukai tersebut ditangguhkan. Harga turut dipengaruhi kos bahan mentah, bahan api, kadar pertukaran, pengangkutan dan keadaan pasaran,” katanya hari ini.

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kerajaan tidak lagi akan memberikan pengecualian secara menyeluruh kepada pemain industri daripada mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih), dengan kebanyakan pengecualian sedia ada dijangka tamat menjelang Januari tahun depan.

Arthur Joseph Kurup dilaporkan berkata, industri yang memerlukan tempoh tambahan untuk mematuhi peraturan hanya akan diberikan lanjutan sementara sekiranya mereka dapat membuktikan bahawa langkah konkrit telah diambil untuk memasang teknologi kawalan pelepasan.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, Fomca mahu kerajaan memantau sama ada ruang yang diberikan kepada industri turut memberi manfaat kepada pengguna.

Katanya, industri tidak sepatutnya menggunakan alasan cukai karbon yang belum dilaksanakan untuk mengenakan kenaikan harga kerana sebarang kenaikan kos sebenar pula perlu dijelaskan secara telus.

“Fomca turut menyokong langkah menghentikan pengecualian menyeluruh terhadap kawalan pencemaran udara. Lanjutan sementara hanya wajar dipertimbangkan bagi pengusaha yang menunjukkan langkah nyata untuk memasang teknologi kawalan pelepasan.

“Pendekatan ini perlu disertai pemeriksaan, pemantauan dan tindakan susulan yang konsisten,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Tangguh cukai karbon, beri ruang industri sesuaikan operasi, elak kos tambahan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved