SHAH ALAM – Peguam Negara tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan pelaksanaan prerogatif pengampunan diraja yang diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan tindakan menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa sebagai suatu penghinaan, malah berpotensi dianggap sebagai penderhakaan.
Tetuan Shafee & Co yang mewakili Najib berkata, tiada sebarang peruntukan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan Peguam Negara menangguhkan pelaksanaan pengampunan diraja atau mana-mana perintah mahkamah yang telah dimeterai.
Menurut firma guaman itu, kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) juga tidak memetik mana-mana peruntukan undang-undang yang memberikan kuasa sedemikian.
"Jika AGC benar-benar mempunyai persoalan berhubung Perintah Mahkamah, saluran yang betul ialah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi, bukannya mengeluarkan kenyataan media.
"AGC menganggap dirinya mempunyai kuasa untuk menangguhkan titah Seri Paduka Baginda melalui satu kenyataan media. Pada pandangan kami, ini merupakan tindakan eksekutif yang melampaui batas kuasanya.
"Denda telah dijelaskan. Justeru, sebarang keputusan untuk terus menahan anak guam kami di Penjara Kajang berdasarkan kenyataan AGC adalah tidak sah di sisi undang-undang serta bercanggah dengan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.
"Oleh itu, kami menggesa Komisioner Jeneral Penjara supaya menyempurnakan pelepasan anak guam kami untuk menjalani tahanan rumah tanpa sebarang kelewatan. Dalam masa sama, Peguam Negara perlu menarik balik kenyataan AGC dengan serta-merta," katanya dalam satu kenyataan.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Keluarga tidak dimaklumkan’- Rosmah kata tidak tahu dua wakil bayar denda RM50 juta Najib
Denda RM50 juta Najib: Pegawai khas, pemimpin UMNO muncul di kaunter bayaran mahkamah
Najib sudah bayar RM50 juta - Peguam
Dana sudah mencukupi, UMNO tutup Tabung Solidariti Najib
[VIDEO] Peguam ke Penjara Kajang serah perintah tahanan rumah Najib
Dua kenderaan Jabatan Penjara memasuki kediaman Najib
Kronologi keputusan tahanan rumah Najib
Anwar tidak setuju UMNO bayar denda RM50 juta bagi pihak Najib, rasuah tidak boleh dikompromi
Isu tahanan rumah Najib: Razlan dakwa wujud muslihat
Tangguh tahanan rumah Najib satu bentuk penderhakaan - Asyraf Wajdi
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan pada September lalu.
AGC dalam kenyataannya pada Jumaat memaklumkan keputusan itu dibuat susulan timbul persoalan perundangan mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International.
Menurut kenyataan tersebut, terdapat dua kemungkinan tafsiran terhadap perintah berkenaan yang memerlukan penelitian lanjut sebelum tindakan pelaksanaan seterusnya diambil.
Sementara itu, Tetuan Shafee & Co menegaskan bahawa setiap syarat yang ditetapkan oleh Seri Paduka Baginda telah dipenuhi dan tiada alasan yang sah di sisi undang-undang untuk Najib terus ditahan di Penjara Kajang walaupun sesaat lagi.
"Oleh itu, kami menuntut agar anak guam kami dilepaskan dengan serta-merta untuk menjalani tahanan rumah di kediamannya sebagaimana yang diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda dan diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi.
"Tidak logik untuk AGC menegaskan bahawa pada hari yang sama kerajaan mewartakan kediaman anak guam kami sebagai tempat tahanan, beliau masih perlu kekal di Penjara Kajang sementara AGC mendapatkan penjelasan lanjut.
"Walau apa pun kebimbangan AGC mengenai kesan Perintah Pengampunan itu, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menahan anak guam kami di satu penjara dan bukannya di penjara yang satu lagi," katanya.

![[VIDEO] Kami buat segalanya untuk bawa daddy balik – Anak Najib Razak](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/NAJWA-NOORYANA-NAJWA-1024x768.jpeg?v=1793986719)




