
KUALA PILAH – Seekor tapir jantan seberat kira-kira 250 kilogram (kg) yang dipercayai dilanggar sebuah kenderaan di kilometer 24, Jalan Seremban-Kuala Pilah, malam tadi, akhirnya mati ketika menerima rawatan awal.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam kira-kira pukul 10.30 malam sebelum sepasukan anggota agensi berkenaan dari Seremban dan Jempol bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, tapir berkenaan ditemukan di kawasan Kampung Ibol, Tanjung Ipoh dengan kecederaan pada bahagian kaki.
“Tapir berkenaan di bawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Jempol untuk penilaian dan rawatan awal oleh anggota, namun tidak dapat diselamatkan dan telah mati,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Ujar Wan Mat, kenderaan yang dipercayai terlibat dalam kemalangan itu bagaimanapun sudah tiada di lokasi ketika pasukan Perhilitan tiba, selain jenis kenderaan berkenaan masih belum dapat dipastikan.
“Bangkai tapir berkenaan akan dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak jabatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tapir 250kg mati selepas dilanggar appeared first on Kosmo Online.





