Tapir seberat 250kg mati dilanggar kereta

LocalEnvironment
12 Sep 2026 • 12:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tapir seberat 250kg mati dilanggar kereta
Seekor tapir seberat 250kg mati dilanggar kereta. Foto Perhilitan

KUALA PILAH - Seekor tapir jantan mati dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer (KM) 24, Jalan Seremban- Kuala Pilah, berhampiran Balai Polis Terachi, di sini, malam Jumaat.

Kejadian kira-kira jam 10 malam itu menyebabkan haiwan seberat 250 kilogram (kg) berkenaan mengalami patah kaki dan pendarahan di mulut.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, haiwan itu disahkan mati kira-kira jam 6.30 pagi Sabtu.

"Kami menerima laporan terdapat seekor tapir dilanggar sebuah kenderaan di lokasi terbabit, sebelum pegawai jabatan bergegas ke lokasi untuk operasi menyelamat.

"Daripada pemerhatian awal, haiwan itu mengalami patah kaki hadapan sebelah kiri dan dipercayai mengalami pendarahan dalaman," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurutnya, tapir berkenaan sempat diberikan rawatan awal selain pihaknya memindahkannya ke Pejabat Perhilitan Daerah Jempol, sebelum disahkan mati.

Ujarnya, haiwan itu akan diluluskan mengikut prosedur operasi standard(SOP) yang ditetapkan Perhilitan.

"Saya juga ingin nasihatkan kepada semua pengguna jalan raya khususnya kawasan yang dikenal pasti sebagai 'hotspot' lintasan hidupan liar supaya memandu dengan berhati-hati," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved