
HULU TERENGGANU: Tidak sampai sebulan seekor gajah menggemparkan penduduk Kampung Jeram di Kuala Nerus, dekat sini, seekor lagi haiwan itu muncul berkeliaran di Kampung Kolam, Ajil, di sini.
Gajah jantan itu bagaimanapun dapat ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu semalam selepas menerima aduan penduduk pada 10 September lalu.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, seramai enam kakitangan jabatan itu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi tangkapan.
Operasi berjaya menangkap seekor gajah jantan yang kemudiannya diikat dan ditambat kira-kira pukul 5.30 petang. Pemerhatian awal mendapati gajah liar ini berada dalam keadaan stabil dan sihat,” katanya hari ini.
Beliau berkata, tangkapan tersebut dapat membantu mengurangkan kebimbangan penduduk Kampung Kolam dan kawasan sekitarnya terhadap ancaman keselamatan yang mungkin ditimbulkan haiwan berkenaan.
Katanya, pemantauan berterusan dilakukan di lokasi gajah berkenaan ditambat sehingga operasi pemindahan dapat dilaksanakan.
“Sepanjang tempoh pemantauan, gajah tersebut diberi makanan berupa batang pisang pada waktu pagi dan petang oleh kakitangan jabatan,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan gajah berkenaan ditambat bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Katanya, kehadiran orang ramai serta bunyi bising boleh menyebabkan gajah mengalami tekanan dan mengganggu pengurusan serta penjagaan haiwan berkenaan.
Pada 22 Ogos lalu, seekor gajah liar menggemparkan penduduk Kampung Jeram apabila kelibatnya dikesan berkeliaran di kawasan kampung selain merosakkan tanaman tebu dan pisang penduduk.
Gajah berkenaan dapat ditangkap sebelum menjalani proses persediaan untuk dipindahkan ke habitat baharu. – UTUSAN
The post Gajah jantan muncul pula di Kampung Kolam appeared first on Utusan Malaysia.





