
KEMAMAN – Penduduk Kampung Pulau Serai gempar dengan kemunculan seekor tapir yang berkeliaran dan merayau di tepi Jalan Kuala Terengganu – Kuantan di sini sejak kelmarin.
Haiwan liar terbabit juga dikesan menghampiri beberapa kedai-kedai makan di perkampungan berkenaan.
Salah seorang penduduk, Kamarul Irfan Zamil, 43, berkata, tapir tersebut mula dikesan penduduk kampung pada pukul 10 malam, Jumaat lalu.
“Kami syak tapir tersebut tersesat memasuki perkampungan kami dari hutan berhampiran untuk mencari makan.
“Haiwan itu kerap ditemui merayau di laluan utama, bimbang ia dilanggar kenderaan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, siasatan terus dilakukan sebaik menerima maklumat tentang kemunculan tapir berkenaan.
“Tapir itu berkemungkinan berasal dari
Hutan Simpan Sungai Pimpin yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Kampung Pulau Serai.
“Kami sedang memantau dan membantunya kembali ke habitat asal,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tapir sesat merayau tepi jalan appeared first on Kosmo Online.





