Tarawih 'outdoor' tarik Gen Z tunai ibadah

7 Mar 2026 • 4:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara jemaah yang hadir menunaikan solat Isyak dan solat sunat tarawih di kawasan lapang tapak pasar malam Bukit Bayas di Kuala Terengganu.
image is not available
Tarawih 'outdoor' di kawasan lapang tapak pasar malam Bukit Bayas menjadi pilihan kerana tempoh solat yang lebih singkat berbanding kebiasaan.

​KUALA TERENGGANU – Kawasan lapang di tapak pasar malam Bukit Bayas di sini menjadi tumpuan jemaah apabila dijadikan lokasi bagi menunaikan solat Isyak dan tarawih berbumbungkan langit.

Pendekatan tarawih 'outdoor' diperkenalkan oleh Maktab Darjah Satu (Madas) Center itu bukan sahaja tular kerana lokasinya yang terbuka malah turut menjadi pilihan kerana tempoh solat yang lebih singkat berbanding kebiasaan.

​Pengasasnya, Mohd Khairul Fadhli Muhammad, 39, berkata, kaedah itu sengaja dipilih bagi menarik minat golongan muda (Gen Z), selain memudahkan warga emas yang mempunyai masalah kesihatan fizikal.

​"Kita lajukan sedikit bacaan daripada kebiasaan. Bagi lapan rakaat, ia mengambil masa sekitar lima hingga enam minit sahaja.

​"Manakala untuk 20 rakaat berserta witir, jemaah hanya memerlukan masa antara 20 hingga 30 minit untuk selesai sepenuhnya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

**media[3455912]**

Mohd Khairul Fadhli berkata, walaupun dilakukan secara santai dan pantas, setiap rukun dan hukum solat tetap dijaga rapi mengikut syariat serta perbahasan empat mazhab utama.

​Katanya lagi, sambutan yang diterima sangat menggalakkan apabila jumlah jemaah melonjak daripada 20 orang kepada lebih 80 orang dalam tempoh singkat.

​"Tujuan kita adalah untuk memberi alternatif. Ada orang yang mungkin kesuntukan masa atau tidak mampu berdiri lama kerana sakit lutut, jadi mereka boleh singgah di sini untuk menunaikan ibadah dengan lebih mudah.

​"Kita juga sudah bersedia dengan khemah berhampiran sekiranya hujan bagi memastikan jemaah tetap dapat meneruskan solat dengan selesa," katanya.

Beliau yang turut aktif mengajar fardu ain secara percuma menerusi aplikasi TikTok berkata, pendekatan berkenaan adalah yang pertama seumpamanya di Terengganu dan dijangka diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

​Madas Center kini mempunyai kira-kira 4,000 pelajar di seluruh negara yang mempelajari asas agama secara dalam talian dengan kaedah yang mudah difahami.