Tarif AS dijangka jejaskan eksport Malaysia, industri elektronik mungkin terselamat - RHB Research

LocalBusiness & Finance
13 Aug 2025 • 3:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tarif AS dijangka jejaskan eksport Malaysia, industri elektronik mungkin terselamat - RHB Research

image is not available

13/08/2025 - 15:14

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Tarif terbaharu 19% yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan menjejaskan ekonomi Malaysia dan memberi kesan paling besar industri berorientasikan eksport, kata RHB Research.

Katanya, tarif tersebut boleh mengurangkan sehingga 0.43 mata peratusan daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Firma penyelidikan itu berkata, selain daripada kesan langsung, kesan turut akan dirasai melalui limpahan daripada China, perbelanjaan pengguna AS yang lebih lemah dan jualan semikonduktor global yang lebih perlahan.

“Kami khususnya memantau perkembangan berkaitan tarif semikonduktor AS,” katanya dalam satu nota kajian sabil memberi amaran terhadap kemungkinan "berlakunya implikasi" terhadap industri eksport Malaysia.

RHB Research berkata, selepas memperkenalkan satu set tarif menyeluruh terhadap rakan dagang utamanya, AS kini mengancam untuk mengenakan levi sehingga 100% terhadap semikonduktor import.

Katanya, AS menyatakan, tarif tambahan yang dicadangkan itu adalah sebahagian daripada siasatan keselamatan nasionalnya.

Firma penyelidikan itu berkata, eksport semikonduktor dan litar bersepadu Malaysia ke AS, yang bernilai AS$12.35 bilion (RM52.11 bilion) pada 2024 atau kira-kira 3% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), mungkin menjadi sasaran.

Bagaimanapun, AS turut membuka ruang pengecualian bagi syarikat yang mengeluarkan produk di AS atau berikrar untuk berbuat demikian.

Kekuatan struktur dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia menunjukkan bahawa risiko penurunan “mungkin dapat dikawal,” kata RHB Research.

“Penglibatan kukuh dalam rantaian bekalan AS — yang diterajui oleh pemain utama seperti Intel dan Texas Instruments — menunjukkan gangguan besar akan bercanggah dengan objektif perindustrian AS,” katanya.

Hampir dua pertiga daripada eksport semikonduktor Malaysia ke AS datang daripada syarikat AS yang beroperasi secara tempatan, tambah firma itu, sambil menyatakan syarikat-syarikat ini, yang sudah mempunyai kehadiran pengilangan di AS, berkemungkinan besar akan mendapat pengecualian dan seterusnya mengurangkan impak yang berpotensi.

Buat masa ini, RHB Research mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 4.2% bagi tahun ini, dengan potensi untuk berkembang lebih pantas kepada 4.4% sekiranya terdapat lebih kejelasan mengenai dasar tarif AS, ketegangan perdagangan AS-China yang semakin reda, serta langkah rangsangan domestik.

Malaysia baru-baru ini bersetuju untuk mengurangkan tarif ke atas lebih 98% produk AS serta komited membuat pembelian dan pelaburan melebihi AS$250 bilion bagi mendapatkan kadar tarif yang lebih rendah.

Kerajaan juga telah berikrar untuk melonggarkan beberapa halangan bukan tarif tertentu. - DagangNews.com

standard