Axis REIT berpotensi catat perkembangan hasil didorong peningkatan sumbangan sewaan baharu - RHB Research

LocalBusiness & Finance
13 Aug 2025 • 4:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Axis REIT berpotensi catat perkembangan hasil didorong peningkatan sumbangan sewaan baharu - RHB Research

image is not available

13/08/2025 - 16:08

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) berpotensi mencatatkan perkembangan hasil didorong peningkatan sumbangan penyewaan baharu dan pelarasan kos pembiayaan, kata RHB Research.

Firma penyelidikan itu kekal positif terhadap prospek kumpulan kerana ia merupakan proksi kepada segmen hartanah industri yang berdaya saing dan terus berkembang.

"Dengan ruang hutang yang mencukupi, persekitaran faedah yang lebih menggalakkan serta rekod prestasi yang kukuh dalam melaksanakan pengambilalihan bagi meningkatkan hasil.

"Kami percaya Axis REIT berada pada kedudukan yang baik untuk mengembangkan portfolio hartanah industrinya," katanya dalam satu nota kajian.

RHB Research mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran RM2.23 sesaham.

Sementara itu BIMB Securities juga positif terhadap Axis REIT, dan menyatakan ia konsisten dengan strategi perluasan pendedahan logistik melalui aset berpendapatan yang lebih berkualiti tinggi.

Katanya, selepas pemerolehan gudang logistik baharu selesai, pertambahan pendapatan dijangka daripada tahun kewangan 2026, menyumbang kira-kira 1% hingga 2% kepada pendapatan yang boleh diagihkan.

"Hartanah disewa sepenuhnya memastikan keterlihatan serta-merta, manakala hasil 6.4% dan impak penggearan sederhana menjadikan tambahan hasil menyokong pertumbuhan nilai aset bersih," katanya.

Mengenai prospek Axis REIT, firma penyelidikan tersebut berkata, trajektori hasil REIT kekal positif, disokong oleh pertumbuhan sewa dan sasaran pemerolehan RM430 juta untuk tahun ini.

"Strategi kumpulan berkenaan harus memacu nilai dan pertambahan pendapatan selanjutnya. Justeru kami masih lagi mengekalkan panggilan 'beli' dengan TP RM2.17 sesaham," kata BIMB Securities. - DagangNews.com

standard