Tarif lebih tinggi, pasaran perabot Poh Huat di AS dibimbangi terjejas - Maybank IB

26/09/2025 - 11:30
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 26 Sept - Pasaran perabot Poh Huat Resources Holdings Berhad di Amerika Syarikat (AS) diramal terjejas dengan negara itu berkemungkinan besar mengenakan tarif yang lebih tinggi pada akhir tahun ini.
TA Securities berkata, eksport perabot ke AS sudah pun tertakluk kepada tarif timbal balas dan meramalkan permintaan keseluruhan produk perabot di pasaran negara itu kekal hambar dalam tempoh terdekat.
"Syarikat perabot seperti Poh Huat turut berdepan kesan daripada suasana tidak menetu ini berikutan jualan lebih rendah daripada operasi domestik yang banyak bergantung kepada pasaran eksport.
"Kumpulan itu sedang giat mempelbagaikan asas pelanggannya di rantau lain selain AS, di samping melaksanakan inisiatif penjimatan kos termasuk automasi dan pelarasan tenaga kerja," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan teras sembilan bulan Poh Huat merosot hampir 45% tahun ke tahun, dipengaruhi oleh aktiviti pembuatan yang lebih lemah dan penyusutan margin kasar.
Katanya, syarikat itu bagaimanapun mengekalkan kedudukan kewangan kukuh dengan sifar hutang dan tunai bersih RM290.5 juta.
TA Securities berkata, sebarang keputusan tarif baharu oleh AS akan terus memberi tekanan kepada penghantaran perabot dari rantau ini, sekali gus menjejaskan unjuran keuntungan pengeluar yang banyak bergantung pada pasaran eksport utama tersebut.
"Kami mengekalkan saranan "jual" dengan harga sasaran (TP) 96 sen berbanding RM1.08 sesaham," katanya.- DagangNews.com
standard
