Untung bersih Kawan Renergy naik 34% kepada RM7.1 juta pada 3QFY25 disokong hasil lebih tinggi

22/09/2025 - 17:43
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 22 Sept - Kawan Renergy Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 34% kepada RM7.1 juta pada suku ketiga berakhir 31 Julai 2025 (3QFY25) berbanding RM5.3 juta pada suku sama tahun sebelumnya disokong hasil lebih tinggi.
Kumpulan itu berkata, keuntungan yang kukuh itu turut disokong penyiapan beberapa projek loji proses industri serta permulaan beberapa projek baharu yang mencerminkan campuran projek yang lebih baik.
Bagi suku yang dikaji, kumpulan itu mencatatkan prestasi yang memberangsangkan dengan hasil meningkat 10.1% tahun ke tahun kepada RM35.1 juta, didorong bil pengesanan kemajuan lebih kukuh daripada peralatan proses industri serta loji tenaga boleh diperbaharui (RE) & kogenerasi, yang masing-masing menyumbang 54% dan 23% daripada jumlah hasil.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan (9MFY25), hasil meningkat 28.9% tahun ke tahun kepada RM95.3 juta, didorong pertumbuhan dua angka merentasi semua segmen perniagaan.
Pendorong utama adalah projek loji proses industri, yang melonjak lebih daripada separuh kepada RM29 juta, bersamaan 30.5% daripada jumlah hasil, manakala keuntungan bersih melonjak 20.7% kepada RM16.8 juta.
Buku pesanan kumpulan kini berjumlah RM112 juta, sekali gus menyokong keterlihatan pendapatan yang kukuh bagi tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang.
Pengarah Urusan Kawan Renergy, Ir. Lim Thou Lai berkata, pihaknya berbesar hati menunjukkan daya tahan dan keupayaan menyesuaikan diri walaupun berdepan cabaran makroekonomi semasa, termasuk turun naik tarif dan persekitaran ekonomi yang lebih perlahan.
"Kami kekal fokus untuk mencipta nilai apabila projek berjalan, sambil giat meneroka peluang projek baharu dengan memanfaatkan kepakaran kukuh serta kerjasama dengan rakan strategik.
"Selain merebut peluang baharu, kami komited untuk menyampaikan rumusan menyeluruh, boleh dipercayai dan berimpak tinggi yang menyokong peralihan tenaga bersih negara," katanya.- DagangNews.com
standard

