
Tarikh Akhir Kemuka E-Filing Individu Pada 15 Mei
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengingatkan pembayar cukai bahawa tarikh akhir bagi mengemuka Borang Nyata (BN) bagi Tahun Taksiran 2025 untuk individu dan selain individu iaitu pertubuhan, harta pusaka dan keluarga sekutu hindu yang tidak menjalankan perniagaan adalah pada 15 Mei.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, LHDN berkata pada awalnya tarikh akhir ditetapkan pada 30 April. Namun, selaras dengan pelaksanaan mandatori pengemuka BN melalui e-Filing, pembayar cukai diberikan masa tambahan selama 15 hari, iaitu sehingga 15 Mei untuk mengemukakan BN dengan tepat dan lengkap.
"Perkhidmatan e-Filing boleh diakses terus di https://mytax.hasil.gov.my atau melalui portal rasmi HASiL di https://www.hasil.gov.my ," tulis LHDN.
Pembayar cukai juga disarankan agar memanfaatkan tempoh lanjutan dengan mengemukakan BN lebih awal bagi memastikan kelancaran proses dan mengelakkan kesesakan capaian sistem menjelang tarikh akhir.
Tersilap Isi e-Filing LHDN? Ini Cara Betulkan Segera
LHDN Ingatkan Pembayar Cukai Hantar e-Filing Tepat Masa, Elak Penalti Dan Sekatan Perjalanan
Sehubungan itu, LHDN turut menasihatkan pembayar supaya mematuhi tarikh akhir yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, termasuk penalti ke atas kelewatan atau kegagalan mengemukakan BN.
"Sebagai panduan, pembayar cukai disarankan merujuk nota penerangan BN yang berkaitan sekiranya terdapat kekeliruan atau memerlukan penjelasan lanjut sebelum mengemukakan BN masing-masing," tambah HASiL.
Pembayar cukai juga digalakkan untuk membuat semakan awal ke atas semua dokumen dan maklumat percukaian termasuk penyata pendapatan, resit serta rekod berkaitan bagi tujuan pelaporan cukai.
"Pengisian dan pelaporan cukai hendaklah dilakukan dengan teliti bagi memastikan pengemukaan BN dibuat dengan tepat, lengkap dan teratur."
Untuk sebarang pertanyaan serta maklum balas, orang ramai boleh hubungi LHDN di talian 03-8911 1000/603-8911 1000 (luar negara) atau HASiL Live Chat, dan melalui Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/





