KUALA LUMPUR – Pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dihantar ke Sabah untuk mengambil alih siasatan kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Siasatan Telus & Menyeluruh
Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) dalam kenyataan berkata, penghantaran pasukan task force terdiri daripada sembilan anggota dan pegawai itu adalah komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
“PDRM memandang serius setiap kes yang melibatkan kehilangan nyawa.
“Sehubungan itu, PDRM menyeru agar semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional, serta mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Latar Belakang Kes
Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya belajar pada pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital keesokannya.
Kematian pelajar Tingkatan Satu berusia 13 tahun itu mengundang sebak ramai, apatah lagi ia dikaitkan dengan dakwaan insiden buli oleh pelajar senior. Suara masyarakat kini bersatu menuntut keadilan buat arwah Zara Qairina. – The Malaysian Update

