liza24/08/2026 - 10:05 Ilustrasi artis mengenai projek Medi-City di Pulau Pinang Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Ogos – FBG Holdings Berhad yang sebelum ini dikenali sebagai Fajarbaru Builder Group Berhad merancang untuk menarik diri daripada kerjasama pembangunan projek Medi-City di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Anak syarikat milik penuhnya, FBG Land Sdn Bhd telah menulis surat kepada Penang Development Corporation (PDC) bagi memaklumkan hasrat untuk tidak meneruskan kerjasama di bawah perjanjian pembelian dan pembangunan induk yang dimeterai antara FBG, FBG Land dan PDC.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu mencadangkan supaya semua pihak berbincang bagi menamatkan kerjasama sedia ada secara teratur.
FBG Land dan PDC kini sedang berbincang mengenai cadangan penamatan tersebut, manakala FBG berkata sebarang perkembangan penting atau persetujuan mengenai terma dan syarat penamatan akan diumumkan kemudian.
Projek Medi-City Seluas 95.4 Hektar
Perjanjian bagi fasa pertama projek Penang Medi-City itu dimeterai pada Januari 2025 dengan keseluruhan pembangunan dirancang di kawasan seluas 95.4 hektar (235.8 ekar).
Ia adalah pembangunan bersepadu yang menggabungkan komponen penjagaan kesihatan dan kesejahteraan dengan pembangunan kediaman, peruncitan serta komersial.
Di bawah perjanjian tersebut, FBG sepatutnya memperoleh Parcel 1 di Bandar Cassia yang mempunyai keluasan kira-kira 20.7 hektar (51.2 ekar) daripada PDC pada harga RM111.5 juta.
Pembangunan Parcel 1 itu sebelum ini diunjurkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM2 bilion dan akan dibangunkan dalam tempoh lapan tahun.
FBG Sebelum Ini Kumpul RM54.9 Juta
Untuk membiayai pembelian tanah projek itu, FBG sebelum ini menawarkan saham baharu kepada pemegang saham pada harga 18 sen sesaham bersama waran percuma.
Pada Disember 2025, sebanyak 304.995 juta saham hak, 101.67 juta Waran D dan 23.51 juta Waran C tambahan diterbitkan yang membolehkan kumpulan mengumpul kira-kira RM54.9 juta.
Dengan cadangan untuk menghentikan kerjasama itu, FBG dan PDC masih perlu memuktamadkan kaedah serta syarat penamatan perjanjian sebelum kedudukan projek tersebut dapat dipastikan sepenuhnya. - DagangNews.com






