
KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan pelbagai promosi istimewa termasuk diskaun sehingga 30 peratus bagi perkhidmatan Electric Train Service (ETS) sempena meraikan ulang tahun ke-16 perkhidmatan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, tawaran diskaun itu akan berlangsung selama dua minggu bermula 21 Ogos sehingga 6 September melibatkan laluan, tarikh serta tempat duduk terpilih.
“Dalam tempoh dua minggu ini, ada pemberian diskaun sebanyak RM16 yang akan diberikan kepada penumpang terpilih.
“Selain itu, terdapat juga beberapa tawaran seperti diskaun sehingga 30 peratus diberikan mengikut tempat duduk, laluan dan waktu yang tertentu,” katanya pada sidang media sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-16 ETS di KL Sentral, hari ini.
Azlan Shah berkata, sempena sambutan berkenaan, pihaknya turut menawarkan pelbagai hadiah dan kerjasama bersama rakan strategik termasuk nasi lemak percuma di stesen tertentu serta kerjasama bersama KFC dan Heurix.
“Sempena ulang tahun ini juga, kami ada memberikan beberapa bungkusan cenderahati kepada penumpang pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata, jumlah penumpang ETS sejak diperkenalkan 16 tahun lalu telah mencecah 44 juta orang, sekali gus mencerminkan permintaan tinggi serta sokongan padu pelanggan terhadap perkhidmatan tersebut.
“Data dari Januari hingga Jun tahun ini menunjukkan peningkatan 44 peratus penumpang berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu daripada 36.7 juta kepada 44 juta penumpang,” katanya.
Menurut beliau lagi, susulan permintaan tinggi terutamanya menjelang cuti sekolah dan sambutan Hari Merdeka, KTMB turut membuka 124 perjalanan tambahan meliputi perkhidmatan ETS dan EMU+ dengan menawarkan hampir 39,000 tempat duduk tambahan.
“Permulaan pembukaan seat tambahan itu telah dibuka semalam dan kami menjangkakan sesiapa yang ingin mengembara, belilah awal.
“Setakat ini, 20 peratus daripada tempat duduk tambahan itu telah terjual, bermakna masih terdapat 80 peratus tempat duduk yang masih boleh didapati,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan para penumpang supaya segera menempah tiket memandangkan semua 44 perjalanan berjadual sedia ada dilaporkan telah habis dijual.
Sementara itu, KTMB turut mengumumkan permulaan perkhidmatan EMU+ dari Bandar Tasik Selatan (TBS) bermula 21 Ogos ini, dengan perhentian tambahan di Subang Jaya dan Klang bagi memudahkan kemudahan penumpang. –UTUSAN
The post Tawaran diskaun 30 peratus sempena ulang tahun ke-16 ETS appeared first on Utusan Malaysia.




