Tawau daerah pertama di Sabah wujudkan Rumah Lestari

LocalEnvironment
24 Nov 2026 • 4:40 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Tawau daerah pertama di Sabah wujudkan Rumah Lestari

TAWAU: Majlis Daerah Tawau menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Sabah mewujudkan Rumah Lestari yang berperanan memupuk kesedaran dan kecintaan masyarakat terhadap alam sekitar.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata program berkenaan berpotensi dijadikan model untuk diperluaskan ke kawasan PBT lain di negeri ini dengan melihat kepada manfaatnya untuk komuniti setempat.

Beliau memuji inisiatif Rumah Lestari Tawau oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT) itu kerana menyediakan platform pendidikan dan pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan amalan kelestarian alam sekitar.

“Inisiatif tersebut mendapat bimbingan, panduan dan peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia di Putrajaya, selain sokongan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP).

“Program ini amat baik dan bermanfaat dalam usaha melestarikan alam sekitar serta menanam kecintaan masyarakat terhadap nilai-nilai hijau yang sangat penting untuk kesejahteraan dan kesihatan kita.

“Ini adalah selaras agenda kerajaan yang memperkenalkan Program Rakan Lestari sebagai salah satu inisiatif strategik dalam menyokong hala tuju ke arah pembentukan masyarakat rendah karbon di PBT masing-masing,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Tawau Lestari peringkat Perbandaran Tawau 2026 di Rumah Lestari, Taman Ria Height pada Isnin.

Hadir sama Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal dan Presiden MPT, Mohd Shoffian Mohd Said.

Mengulas lanjut Mohd Arifin berkata Rumah Lestari tersebut turut berperanan sebagai pusat pendidikan tidak formal khususnya kepada golongan kanak-kanak dan pelajar sekolah untuk memahami kepentingan menjaga alam sekitar sejak awal.

Justeru itu beliau berharap lebih ramai murid dan pelajar daripada pelbagai sekolah berkunjung ke Rumah Lestari bagi melihat sendiri program serta aktiviti yang dilaksanakan.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata kerajaan mengambil perhatian terhadap keperluan menambah baik kemudahan asas di kawasan pekan dan bandar termasuk sistem pencahayaan bagi meningkatkan aspek keselamatan ke arah Tawau Bandar Selamat.

“Saya ada diberikan taklimat daripada presiden MPT dan presiden majlis-majlis lain serta PBT berhubung keperluan menambah-baik kemudahan asas, termasuk sistem pencahayaan di pekan-pekan dan bandar.

“Perkara ini kita ambil perhatian dan sudah diambil tindakan. Proses penambahbaikan sedang berjalan melalui Setiausaha Tetap kementerian dan akan dibawa ke PBT masing-masing,” katanya lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved