
SHAH ALAM, 12 NOV: Sebuah lori membawa muatan pelbagai jenis ikan kecil terbabas ke bahu jalan selepas tayar belakang kirinya tercabut di Kilometer 29 Jalan Feri, Hutan Melintang, Bagan Datuk petang semalam.
Kejadian jam 6.40 petang berhampiran Kampung Kota, menghala ke Sabak Bernam, Selangor itu menyebabkan muatan ikan bertaburan di jalan raya.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan lori jenis Isuzu itu pada jam 8.55 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipercayai terbabas sendiri akibat masalah teknikal apabila tayar belakang kirinya tercabut.
"Kemalangan ini tidak menyebabkan kerosakan harta awam serta mangsa atau kenderaan lain.
"Pemandu lori ikan berkenaan iaitu lelaki berusia 39 tahun juga tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Mohammad Ali berkata siasatan dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Bagan Datuk mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Normah Abu Hassan di talian 010-5364619 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Balai Bomba Hutan Melintang menerusi hantaran Facebook memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.40 petang semalam susulan kejadian tersebut.
Menurut hantaran itu, anggota bomba menjalankan kerja pembersihan menggunakan aliran hos air daripada tangki jentera bagi membersihkan ikan yang bertaburan dan berisiko membahayakan pengguna jalan raya sehingga laluan kembali selamat digunakan.






