Lori lima tan bawa barangan runcit terbalik, pemandu cedera ringan

10 Nov 2026 • 4:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lori lima tan bawa barangan runcit terbalik, pemandu cedera ringan
Anggota bomba sedang menjalankan kerja menyelamat di Paya Terubong.

GEORGE TOWN- Seorang lelaki cedera ringan selepas lori lima tan yang dipandunya terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Jalan Paya Terubong, berhampiran Pangsapuri Green Garden, di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.53 petang itu, mangsa berusia 34 tahun berjaya dikeluarkan dari lori berkenaan oleh orang awam sebelum menerima rawatan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.53 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Euro membawa muatan barangan runcit.

“Komander operasi membuat penilaian awal sebelum mengarahkan anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dengan kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap menjalankan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di lokasi kejadian.

“Mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah diberikan rawatan sebelum dibawa oleh anggota Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, operasi melibatkan sembilan anggota BBP Paya Terubong dengan bantuan sebuah jentera LFRT dan sebuah kenderaan EMRS.

"Polis dan PBSM turut membantu operasi menyelamat.

"Kemalangan tidak melibatkan kenderaan lain. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.29 petang selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat," katanya.

Difahamkan, kemalangan tersebut menyebabkan laluan di kawasan berkenaan sesak lebih sejam kerana keadaan lori yang melintang jalan.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved