
KULIM – Tindakan seorang lelaki memecut kereta sejauh kira-kira 16 kilometer bagi mengelak pemeriksaan polis membawa padah apabila kenderaan dipandunya terbabas di bahu jalan sebelum dia dan teman wanitanya ditahan di Jalan Kampung Sungai Tengas, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, lelaki berusia 27 tahun itu yang memandu sebuah Honda Ferio berwarna biru bersama wanita berusia 24 tahun dipercayai cuba meloloskan diri selepas menyedari kehadiran anggota polis yang menjalankan tugas pemeriksaan.
Bagaimanapun, kenderaan tersebut akhirnya terbabas sebelum teman wanitanya berjaya ditahan, manakala lelaki berkenaan cuba melarikan diri dengan memasuki kawasan hutan berhampiran.
Cubaan suspek meloloskan diri bagaimanapun gagal apabila dia berjaya diberkas anggota polis yang mengejarnya.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kejar-mengejar itu daripada anggota Unit Kereta Peronda (MPV) kira-kira pukul 12 tengah hari.
Menurutnya, MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim kemudian mengarahkan sebuah lagi MPV memberi bantuan bagi mengekori kenderaan suspek sehingga kedua-dua individu terbabit berjaya ditahan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan sembilan paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 51 gram serta dua kartrij mengandungi cecair disyaki ketamin sebanyak lima mililiter.
“Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki mengaku melarikan diri kerana memiliki dadah berkenaan yang dipercayai untuk dijual di sekitar daerah Selama, Perak.
Kedua-dua suspek yang merupakan pasangan kekasih itu mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah, masing-masing sebanyak sembilan dan 11 rekod. – KOSMO! ONLINE
The post Pasangan kekasih dicekup selepas dikejar sejauh 16 kilometer appeared first on Kosmo Online.






