
Subang Jaya, 30 Mei 2023 — Universiti Taylor's dan Newswav menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) yang melambangkan kerjasama selama dua tahun untuk memperkukuhkan perkembangan kewartawanan digital dari segi akademik. Kolaborasi ini menggabungkan reputasi Newswav sebagai pengagregat berita nombor satu di Malaysia dan prestij Universiti Taylor’s, sebuah universiti swasta terbaik di Asia Tenggara untuk Pengajian Komunikasi dan Media, berdasarkan QS World University Rankings by Subject 2023.
Melalui kolaborasi ini, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Massa (Bachelor of Mass Communication) dengan pengkhususan dalam Kewartawanan di Sekolah Media dan Komunikasi Taylor's (SOMAC) akan berpeluang untuk mengambil bahagian dalam program baru Newswav Creator Incubation Programme, di mana mereka dapat membina portfolio mereka dan memaparkan kemahiran kewartawanan mereka di bawah bimbingan rangkaian profesional industri dan pencipta kandungan yang berjaya dari Newswav.
Pelajar juga dapat menyertai Program Penerbit Newswav untuk menjangkau khalayak yang lebih luas untuk projek tahun terakhir mereka - surat khabar pelajar yang dikenali sebagai 'The InkSlingers', yang telah disiarkan sejak penerbitan pertamanya pada tahun 2003.
"Kolaborasi antara Sekolah Media dan Komunikasi dengan Newswav menegaskan komitmen kami untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang seimbang dan holistik kepada pelajar kami. Kolaborasi dengan organisasi media seperti Newswav memberikan pelajar kami pendedahan yang tidak ternilai kepada cabaran dunia nyata, kemajuan teknologi, dan trend baru yang membentuk amalan kami. Kolaborasi seperti ini membolehkan pelajar kami untuk membangunkan kebolehsuaian dan daya tahan yang diperlukan untuk berjaya dalam bidang yang sentiasa berubah ini," kata Philip Gan Chee Keat, Pengarah Program Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Taylor's.
MOU tersebut ditandatangani oleh Prema Ponnudurai, Ketua Sekolah Media dan Komunikasi dan Swee Wai Hoow, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Newswav di Kampus Taylor's Lakeside hari ini, sempena Journofest pertama SOMAC. Journofest bertujuan untuk menarik minat pelajar dalam bidang kewartawanan dan media. Ia juga bertujuan untuk merapatkan jurang antara akademik dan industri serta berkongsi trend dan pandangan terkini mengenai kewartawanan dan industri media dengan pelajar.
"Kolaborasi ini merupakan salah satu langkah di mana seiring dengan bimbingan daripada organisasi media, pelajar kami akan dapat mengembangkan portfolio digital yang kukuh, menubuhkan reputasi dalam talian sebagai wartawan melalui penciptaan kandungan dalam talian untuk memenuhi keperluan dan standard industri," kata Prema.
"Kami sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Universiti Taylor's untuk melancarkan Newswav Creator Incubation Programme. Melalui kolaborasi ini, kami berharap dapat membantu wartawan dan penulis muda untuk mencapai kerjayaan dalam era digital," kata Wai Hoow.
MOU ini juga mengetengahkan kerjasama akademik-industri melalui inisiatif seperti kursus pengiktirafan dan bengkel Masterclass dalam bidang kewartawanan, video, podcast, dan penciptaan kandungan untuk pelajar, di mana mereka dapat memperoleh kelebihan daya saing untuk masa depan mereka. Kandungan yang dihasilkan oleh pelajar melalui kolaborasi ini akan tersedia di aplikasi dan laman web Newswav.



