Taylor’s University lancar Lumicko, platform penstriman pembelajaran kandungan digital

LocalTechnology
8 Dec 2025 • 5:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Taylor’s University lancar Lumicko, platform penstriman pembelajaran kandungan digital
image is not available
haziq08/12/2025 - 17:02 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Dis – Taylor’s University, menerusi Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, melancarkan platform penstriman multimedia bersepadu pembelajaran, Lumicko, sebagai langkah strategik bagi menyokong latihan penghasilan kandungan digital dan pembangunan bakat industri kreatif.

 

Taylor’s University dalam kenyataan hari ini berkata, pelancaran Lumicko yang boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store itu selari dengan pertumbuhan pesat sektor kandungan digital dan penstriman negara yang menjana RM5.31 bilion pada 2023.

 

Langkah itu turut sejajar pasaran Over-The-Top (OTT) yang dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 18.5% antara 2025 hingga 2031.

 

Platform itu direka sebagai ruang pembelajaran sebenar untuk pelajar menghasilkan, menerbit dan mempamerkan karya digital, sekali gus bertindak sebagai platform portfolio kepada pelajar serta ekosistem pencarian bakat untuk pengarah, penerbit dan agensi kreatif.

 

Dekan Eksekutif Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Rekreasi Taylor’s University, Dr Neethiahnanthan Ari Ragavan berkata Lumicko diwujudkan bagi membolehkan pelajar mengalami keseluruhan rantaian penghasilan kandungan dalam persekitaran sebenar.

 

“Lumicko bukan sekadar platform penstriman, tetapi sebuah ekosistem pembelajaran yang memberi peluang kepada pelajar untuk menghasilkan, menerbit dan menampilkan karya mereka mengikut standard profesional industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, pendekatan itu memberi pendedahan langsung kepada pelajar terhadap amalan sebenar industri penstriman, sekali gus membolehkan mereka memasuki pasaran kerja dengan kefahaman yang lebih jelas terhadap kehendak industri.

 

Menurut Taylor’s University, pembangunan Lumicko dipantau oleh Panel Penasihat Industri (IAP) Pusat Pengajian Media dan Komunikasi yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia, Mediha Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab, serta rakan kongsi firma guaman Christopher & Lee Ong Anissa Maria Anis.

 

Panel ini berperanan memastikan pematuhan aspek etika, hak cipta dan keselamatan siber, di samping memastikan kandungan pelajar menepati kehendak industri sebenar.

 

Mediha berkata, Lumicko menyediakan ruang yang tersusun untuk pelajar menghasilkan kandungan secara bertanggungjawab.

 

“Sebagai ahli IAP, saya melihat Lumicko sebagai penghubung penting antara pendidikan dan ekosistem kandungan profesional negara, yang membolehkan bakat baharu memasuki industri dengan kemahiran dan asas etika yang jelas,” katanya dalam kenyataan tersebut.

 

Lumicko diintegrasikan sepenuhnya dalam modul-modul pengajian di bawah Pusat Pengajian Media dan Komunikas, termasuk bidang kewartawanan, perhubungan awam, pengiklanan dan produksi media digital, yang membolehkan pelajar melalui proses pengeluaran kandungan dari peringkat idea hingga penerbitan.

 

Semasa pelancarannya, sesi panel turut melibatkan Pengasas Lumicko dan Ketua Pusat Pengajian Am dan Bahasa Taylor’s University, Prema Ponnudurai, Bekas Timbalan Menteri Pendidikan dan Ahli Majlis Malaysian Qualifications Agency Datuk P. Kamalanathan, Pengarah filem dan Ketua Pegawai Eksekutif ACE Pictures Entertainment LLC Peter Wong, serta Naib Presiden Kandungan Astro Malaysia Holdings Berhad yang juga Naib Presiden Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd, Prem Anand Rajahram.

 

Perbincangan itu menyentuh peranan universiti dalam melahirkan bakat kreatif serta keperluan platform seperti Lumicko dalam memenuhi keperluan ekosistem media tempatan dan global yang sedang berkembang pesat.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai Lumicko, layari https://lumicko.com/. - DagangNews.com

Terkini standard