TDM dapat lanjutan masa hingga hujung 2026 lengkapkan pelupusan aset Indonesia RM115 juta

Business & Finance
18 Aug 2026 • 5:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TDM dapat lanjutan masa hingga hujung 2026 lengkapkan pelupusan aset Indonesia RM115 juta Image from: TDM dapat lanjutan masa hingga hujung 2026 lengkapkan pelupusan aset Indonesia RM115 juta johardy18/08/2026 - 17:35 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Ogos - TDM Berhad mendapat lanjutan masa sehingga 31 Disember 2026 untuk melengkapkan cadangan pelupusan dua syarikat perladangan di Indonesia kepada Ikhasas Sawit Sdn Bhd pada nilai keseluruhan RM115 juta, ketika pihak terlibat berusaha memuktamadkan beberapa perkara tertunggak melibatkan pihak berkuasa Indonesia.

 

TDM dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, tarikh akhir baharu itu yang merupakan tarikh akhir lanjutan ketujuh akan memberi masa kepada pihak terlibat untuk memuktamadkan terma utama perjanjian tambahan.

 

Cadangan pelupusan itu melibatkan TDM bersama seorang pemegang saham minoriti menjual keseluruhan kepentingan ekuiti mereka dalam PT Rafi Kamajaya Abadi (RKA) dan PT Sawit Rezki Abadi (SRA) kepada Ikhasas Sawit dengan jumlah pertimbangan tunai RM115 juta.

 

Menurut TDM, lanjutan masa itu diperlukan khususnya bagi memuktamadkan pelan pemulihan yang akan dipersetujui dan dimeterai antara RKA dengan pihak berkuasa Indonesia yang berkaitan.

 

Perkara itu menyusuli pemeteraian akta damai (perjanjian penyelesaian secara damai) antara RKA dan Kementerian Lingkungan Hidup (KLH) Indonesia seperti diumumkan TDM sebelum ini.

 

Urus niaga sejak Julai 2022

Tempoh tambahan itu juga bertujuan memudahkan usaha pihak terlibat untuk menyempurnakan Perjanjian Jual Beli Bersyarat (CSPA) bertarikh 29 Julai 2022.

 

Urus niaga tersebut melalui beberapa lanjutan sejak pertama kali diumumkan lebih empat tahun lalu, dengan TDM mengeluarkan pengumuman susulan pada 4 Ogos 2022, 2 Ogos 2023, 2 Ogos 2024, 16 Januari 2025, 24 April 2025, 9 Julai 2025 dan 12 Januari 2026.

 

TDM berkata, syarikat itu dan Ikhasas Sawit kekal komited terhadap cadangan pelupusan tersebut serta terus bekerjasama rapat bagi memenuhi syarat terdahulu yang masih belum diselesaikan.

 

Penyelesaian syarat berkenaan akan membolehkan urus niaga bernilai RM115 juta itu disempurnakan menjelang tarikh akhir lanjutan terbaharu tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved