Salcon ubah terma pelupusan PKSB RM43.22 juta, lanjut bayaran hingga Februari 2027

Business & Finance
14 Aug 2026 • 5:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Salcon ubah terma pelupusan PKSB RM43.22 juta, lanjut bayaran hingga Februari 2027 Image from: Salcon ubah terma pelupusan PKSB RM43.22 juta, lanjut bayaran hingga Februari 2027 johardy14/08/2026 - 17:41 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Salcon Berhad mengubah terma cadangan pelupusan Prestasi Kemas Sdn Bhd (PKSB) bernilai RM43.22 juta, termasuk memberi lanjutan enam bulan kepada pembeli untuk menjelaskan baki pembayaran sehingga 15 Februari 2027.

 

Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan air dan infrastruktur itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Salcon Development Sdn Bhd (SDSB), bersama Dato' Ding Pei Chai, memeterai perjanjian tambahan dengan pembeli, Kota Platinum Sdn Bhd (KPSB).

 

Di bawah terma baharu itu, nilai pertimbangan dipersetujui diselaraskan kepada RM43.22 juta daripada RM42 juta susulan permodalan pendahuluan tambahan sebanyak RM1.21 juta dan faedah berkaitan RM12,942 setakat 15 Ogos.

 

Salcon menjelaskan, pelarasan RM1.22 juta itu hanya berpunca daripada permodalan pendahuluan tambahan dan faedah berkenaan, dan tidak merupakan peningkatan kepada nilai pertimbangan asal RM42 juta.

 

Sebanyak 97,645 saham biasa tambahan PKSB akan diterbitkan kepada SDSB pada harga RM12.50 sesaham, menjadikan jumlah saham baharu yang diterbitkan kepada SDSB sebanyak 2.01 juta saham. Susulan itu, baki bayaran meningkat kepada RM39.02 juta daripada RM37.8 juta.

 

Bayaran RM22.52 juta ketika perjanjian dimeterai

KPSB dikehendaki membayar RM22.52 juta apabila perjanjian tambahan dimeterai, merangkumi RM1.5 juta faedah terakru ke atas baki bayaran setakat 15 Ogos dan RM21.02 juta yang akan ditolak daripada baki berkenaan.

 

Selepas pembayaran itu, baki RM18 juta perlu dijelaskan pada atau sebelum 15 Februari 2027, berserta faedah 8% setahun yang dikira secara harian mulai 16 Ogos sehingga tarikh pembayaran.

 

Sebarang pendahuluan tambahan yang dibuat mulai 16 Ogos sehingga tarikh pembayaran juga perlu dijelaskan berserta faedah 8% setahun yang dikira secara harian daripada tarikh matang berkaitan sehingga pembayaran dibuat.

 

Perubahan terma itu dibuat selepas KPSB memohon lanjutan tempoh pembayaran selama enam bulan lagi selepas tempoh lanjutan sedia ada berakhir pada 15 Ogos. Penjual bersetuju melanjutkan tempoh berkenaan dari 16 Ogos 2026 hingga 15 Februari 2027, tertakluk kepada syarat dalam perjanjian tambahan.

 

Asian Pac jamin pembayaran

Sebagai sebahagian daripada syarat lanjutan itu, Asian Pac Holdings Bhd akan memberikan jaminan dan indemniti kepada penjual bagi menjamin penyempurnaan urus niaga serta pembayaran semua jumlah yang perlu dibayar.

 

Tiada lanjutan tempoh pembayaran selanjutnya akan diberikan kecuali seperti diperuntukkan dalam perjanjian tambahan.

 

Sekiranya KPSB gagal membuat pembayaran mengikut tempoh ditetapkan, penjual boleh menuntut pelaksanaan spesifik atau menamatkan urus niaga itu.

 

Jika ditamatkan, RM6.30 juta akan dilucutkan kepada penjual sebagai ganti rugi jumlah tertentu yang dipersetujui, manakala baki wang yang telah dibayar akan dikembalikan dalam tempoh tujuh hari bekerja.

 

Faedah RM1.5 juta yang terakru sehingga 15 Ogos tidak boleh dikembalikan, termasuk sekiranya urus niaga ditamatkan. Semua terma dan syarat lain dalam perjanjian jual beli asal kekal tidak berubah. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved