
SERDANG: Pelari pecut Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee membuktikan gelaran Raja Pecut SUKMA 2026 sememangnya layak menjadi miliknya apabila mengungguli acara 200 meter (m) pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Lebih membanggakan, Danish, 19, mencatat masa 20.85 saat (s) sekali gus memperbaharui rekod temasya yang sebelum ini menjadi milik pelari Selangor, Muhammad Aqil Yasmin dengan catatan 21.01s pada edisi 2018.
Kejayaan itu melengkapkan koleksi emas Danish selepas dia terlebih dahulu mengungguli acara 100m pada Ahad lalu sebelum membantu kuartet Johor menjuarai acara 4x100m, kelmarin.
Catatan 20.85s yang dilakar Danish juga menghampiri rekod kebangsaan miliknya iaitu 20.73s ketika beraksi di Sukan SEA 2025.
Pingat perak menjadi milik pelari Kedah, Muhammad Umaira Subri selepas menamatkan larian 21.23s manakala gangsa diraih wakil Johor, Muhamad Airiel Iskandar Rusli dengan catatan 21.35s.
Menurut Danish, dia percaya masih mampu memperbaiki rekod kebangsaan tersebut, namun buat masa ini tumpuannya lebih terarah kepada acara 100m.
“Ya, saya percaya saya boleh mengatasi catatan terbaik peribadi yang juga rekod kebangsaan. Saya harap dapat meneruskan prestasi dalam acara 200m tetapi tahun ini saya dan jurulatih menyasarkan untuk fokus kepada acara 100m dahulu.
“Untuk mendapat gelaran olahragawan pada tahun ini, insya-Allah saya tidak meletakkan sebarang sasaran. Saya cuma mahu memberikan yang terbaik dalam acara saya.
“Kalau ada rezeki untuk bergelar olahragawan, insya-Allah saya mengharapkannya juga. Apa-apa pun, semuanya atas rezeki Allah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, saingan 200m wanita menyaksikan pelari Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira menepati ramalan apabila merangkul pingat emas dengan catatan 24.42s.
Pingat perak menjadi milik pelari Selangor, Lin Mei Yin dengan masa 24.86s, manakala gangsa diraih wakil Terengganu, Nor Aliya Najihah Muda yang mencatat 25.39s.
Izzatul berkata, dia yakin mampu memperbaiki catatan masa lariannya namun mengakui keadaan fizikal yang keletihan selepas mengharungi jadual pertandingan padat tahun ini sedikit membataskan prestasinya.
“Saya sangat yakin boleh melakukan lebih baik daripada 24.42s tetapi saya rasa sekarang bukan masanya untuk saya memecahkan had tersebut.
“Mungkin pada Sukan Asia nanti saya boleh melakukan yang terbaik. Seperti yang saya beritahu, saya memang banyak menyertai pertandingan tahun ini dan agak penat.
“Saya sebenarnya berlari dalam keadaan keletihan, selain mengalami sedikit ketegangan pada otot badan. Namun, saya bersyukur tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.- UTUSAN
The post Danish Iftikhar lengkapkan hatrik emas appeared first on Utusan Malaysia.






