Terengganu bakal terajui teknologi hijau negara melalui penubuhan TI Greenverse

13/10/2025 - 10:28
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 13 Okt – Terengganu bakal muncul sebagai antara peneraju utama dalam bidang teknologi hijau dan pengurusan sisa terjadual negara melalui penubuhan TI Greenverse Sdn Bhd, sebuah loji pemulihan sisa moden yang berpusat di Taman Bio-Polimer Kerteh.
Ia akan menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh ekonomi hijau negeri serta memastikan pengurusan sisa industri dilakukan secara lebih bertanggungjawab dan efisien.
TI Greenverse Sdn Bhd merupakan usaha sama strategik antara Terengganu Incorporated Sdn Bhd, syarikat pelaburan strategik milik kerajaan negeri dan Greenverse Holding Sdn Bhd, yang menggabungkan kekuatan pelaburan negeri dengan kepakaran teknikal sektor swasta.
Kolaborasi ini dijangka mewujudkan penanda aras baharu dalam pengurusan sisa terjadual, di samping menyokong pembangunan industri hijau yang lebih mampan dan berdaya saing.
TI Greenverse akan memainkan peranan utama dalam memperkenalkan pendekatan pengurusan sisa industri yang lebih bertanggungjawab, kos efektif dan berimpak positif terhadap alam sekitar.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen bersama dalam mempercepatkan pembangunan industri hijau di Terengganu.
“Melalui TI Greenverse Sdn Bhd, kami bukan sahaja menetapkan penanda aras baharu dalam pengurusan sisa, tetapi turut menyokong agenda ekonomi hijau dan kesejahteraan komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan.
Perjanjian usahasama dan pemegang saham itu dimeterai di ibu negara baru-baru ini, melibatkan Terengganu Inc, Greenverse dan TI Greenverse Sdn Bhd sebagai entiti pelaksana.
Majlis menandatangani perjanjian menyaksikan Burhanuddin Hilmi mewakili Terengganu Inc, manakala Greenverse pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Heng Sia Kwang.
Operasi itu akan dijalankan di loji rawatan sisa moden Taman Bio-Polimer Kerteh, yang direka bentuk bagi menguruskan sisa terjadual berteknologi tinggi serta mematuhi piawaian alam sekitar antarabangsa.
Ia akan menyokong ekonomi kitaran dengan menukar sisa industri kepada produk kitar semula bernilai tinggi, di samping membuka peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat setempat.
Tambahnya, langkah strategik ini turut menyokong matlamat pembangunan negeri di bawah Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030) serta menyumbang kepada agenda nasional negara. - DagangNews.com
standard


