![Image from: [VIDEO] Jeritan wanita gagalkan cubaan ceroboh rumah](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/CEROBOH-RUMAH-1024x768.jpg)
KLANG – Jeritan seorang wanita menyelamatkan kediamannya daripada dimasuki seorang lelaki warga Indonesia yang cuba menceroboh rumahnya di Kampung Rantau Panjang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, suspek berusia 20-an berjaya ditangkap jiran wanita tersebut sebelum diserahkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 50-an yang berada di rumah berkenaan menyedari kehadiran seorang lelaki tidak dikenali di bahagian pintu rumah yang tidak berkunci.
“Suspek dipercayai cuba memasuki rumah berkenaan sebelum melarikan diri selepas pengadu menjerit meminta pertolongan.
“Jiran berhampiran kemudiannya berjaya menahan suspek sebelum diserahkan kepada anggota polis peronda untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan rumah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Asisten Superintendan Abdul Hai Salleh di talian 012-345 3946.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai penangkapan suspek berkenaan yang didakwa cuba menceroboh rumah tidak berpenghuni ketika pemiliknya keluar menunaikan solat. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Jeritan wanita gagalkan cubaan ceroboh rumah appeared first on Kosmo Online.






