Tegur buat bising, warga emas dipukul guna tin gam

16 Oct 2026 • 8:35 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tegur buat bising, warga emas dipukul guna tin gam
Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu ditahan. Gambar hiasan

SEGAMAT – Seorang warga emas lelaki cedera di dahi selepas dipercayai dipukul menggunakan tin gam oleh seorang lelaki di hadapan sebuah premis perniagaan di Jalan Mohd Yusof, Kampung Abdullah, dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa yang berusia 70 tahun menegur suspek yang membuat bising dan mengamuk di hadapan premis berkenaan.

"Suspek kemudiannya bertindak memukul kepala mangsa menggunakan satu tin gam.

“Suspek kemudian melarikan diri dari tempat kejadian, manakala mangsa mengalami kecederaan luka pada bahagian dahi dan mendapatkan rawatan di Hospital Segamat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Polis turut merampas satu tin gam, sehelai baju dan sehelai seluar jeans bagi membantu siasatan.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 33 rekod berkaitan kesalahan jenayah dan narkotik, manakala ujian saringan awal air kencing menunjukkan keputusan negatif dadah.

“Hasil soal siasat lanjut mendapati suspek mengaku terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Mohd Jumazanzahir berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek selepas ditegur mangsa, selain suspek dipercayai berada dalam keadaan khayal ketika kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Segamat pada Jumaat bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, polis turut mengesan satu hantaran di Facebook yang memaparkan kejadian pergaduhan di Jalan Ros, Segamat, pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada laporan polis diterima berhubung kejadian pergaduhan yang tular itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi talian hotline IPD Segamat di 07-932 4222 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved