Teguran diterima, amanah tetap digalas! Fadhlina jamin KPM terus lindungi keselamatan pelajar

LocalPolitics
6 Oct 2026 • 11:11 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan setiap teguran berkaitan keselamatan pelajar didengar dan diambil serius dalam usaha memastikan kebajikan serta perlindungan murid terus diberi perhatian.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya akan terus memperkukuh langkah sedia ada selain melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan cabaran semasa.

“KPM dengar dan ambil serius setiap teguran.
“Seperti ditegaskan YAB Perdana Menteri, usaha melindungi anak-anak kita tidak boleh dipikul oleh sekolah dan guru sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Image from: Teguran diterima, amanah tetap digalas! Fadhlina jamin KPM terus lindungi keselamatan pelajar

Menurut Fadhlina, tanggungjawab memastikan keselamatan anak anak memerlukan penglibatan menyeluruh dan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu warga sekolah.

Jelasnya, sekolah, guru, ibu bapa, keluarga dan komuniti masing masing mempunyai peranan yang saling melengkapi dalam memastikan persekitaran lebih selamat untuk murid.

“Dalam hal ini, tanggungjawab melindungi anak-anak memerlukan penglibatan semua pihak.
“Sekolah, guru, ibu bapa, keluarga dan komuniti mempunyai peranan yang saling melengkapi,” katanya.

Image from: Teguran diterima, amanah tetap digalas! Fadhlina jamin KPM terus lindungi keselamatan pelajar

Pada masa sama, Fadhlina memberi jaminan KPM akan terus melaksanakan tanggungjawabnya dalam menjaga keselamatan dan kebajikan murid dengan sebaik mungkin.

“Insya-Allah, amanah ini akan terus kami laksanakan dengan sebaiknya,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu keselamatan pelajar tidak boleh ditangani oleh pihak sekolah sahaja kerana pendidikan serta pembentukan sahsiah anak turut bermula daripada institusi keluarga.

Menurut Anwar, tindakan tegas perlu diambil terhadap kes yang mengancam keselamatan pelajar, namun penyelesaian jangka panjang memerlukan kesedaran dan penglibatan ibu bapa, guru, pentadbir sekolah serta kerajaan.

“Sekarang ini panduan sudah dilakukan namun saya tidak percaya kes ini boleh selesai tanpa kesedaran dan penglibatan daripada semua pihak,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN Indera Mahkota) pada sesi Waktu Pertanyaan Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Anwar turut memaklumkan KPM telah mengambil beberapa langkah termasuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi bersama polis dan ibu bapa.

Beliau pada masa sama menekankan kepentingan institusi keluarga sebagai asas dalam membentuk pendidikan agama, akhlak, kecintaan terhadap ibu bapa serta rasa hormat kepada guru.

“Saya tidak bermaksud nak salahkan ibu bapa tetapi tanggungjawab keluarga, unit keluarga itu mesti menjadi asas.
“Negara tertegak dengan unit keluarga yang kukuh. Jadi, dalam bidang ini, bila kita lihat masalah, janganlah kita hanya merasa kesal setelah ada laporan,”ujar beliau.
Sumber: FB Fadhlina Sidek
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved