Hukuman rotan di sekolah masih kekal sebagai salah satu bentuk tindakan disiplin yang dibenarkan terhadap pelajar lelaki bagi kesalahan tertentu, namun pelaksanaannya perlu mematuhi peraturan dan tatacara ditetapkan.
Menurut laporan Sinar Harian, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kuasa melaksanakan hukuman berkenaan bukan diberikan kepada semua pihak secara bebas, sebaliknya hanya boleh dilakukan oleh guru besar, pengetua atau guru yang diberikan kuasa secara nyata.
Beliau berkata, pelaksanaan hukuman rotan juga perlu mempunyai asas yang jelas dan tidak boleh dibuat mengikut emosi atau sehingga menyebabkan kecederaan kepada murid.
“Hukuman tersebut hanya boleh dilaksanakan oleh guru besar, pengetua atau guru yang diberikan kuasa secara nyata oleh guru besar atau pengetua.
“Ia tertakluk kepada tata cara tertentu. Hukuman tidak boleh dilakukan sesuka hati, tidak boleh dilakukan kerana marah dan tidak boleh sehingga mendatangkan kecederaan.
“Setiap hukuman perlu punya asas jelas dan direkodkan mengikut ketetapan yang berkuat kuasa,” katanya ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Foto arkib: Bernama
Fadhlina menjelaskan, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memperincikan tatacara berkaitan dari semasa ke semasa bagi memastikan pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat mempunyai kefahaman yang jelas mengenai pelaksanaannya.
Dalam perkembangan berkaitan disiplin murid, beliau berkata KPM turut melaksanakan 11 langkah tambahan bagi memperkukuh keselamatan institusi pendidikan, yang mula dilaksanakan secara berperingkat sejak Oktober 2025.
Langkah berkenaan antaranya melibatkan penjelasan mengenai kuasa menangani kes disiplin kepada pengetua, guru besar dan jawatankuasa disiplin, termasuk membolehkan kuasa tersebut diturunkan kepada guru.
“Semua guru adalah guru disiplin dan semua tindakan disiplin adalah mengikut peraturan dan tatacara yang ditetapkan.
“Sistem Sahsiah Diri Murid telah ditambah baik kepada Sistem Salah Laku Disiplin Murid untuk memberikan fokus kepada pencegahan salah laku disiplin,” ujarnya.
Beliau berkata, usaha memperkukuh aspek keselamatan dan disiplin di sekolah tidak seharusnya terhenti pada peringkat dasar atau dokumentasi semata-mata, sebaliknya perlu memberi kesan secara langsung kepada warga pendidikan.
“Kita tidak mahu reformasi keselamatan berhenti pada mesyuarat, minit atau dokumen. Perubahannya mesti dirasakan oleh murid, guru dan ibu bapa,” jelasnya lagi.
Sumber: Sinar Harian (Diana Azis)





