KAJANG – Tekanan kerja dipercayai menjadi punca seorang gadis menghilangkan diri sebelum ditemui selamat selepas menginap di sebuah hotel di Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Nazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesahkan wanita berkenaan berjaya ditemui semula pada Sabtu.
Menurutnya, mangsa ditemui sekitar jam 11 pagi di kawasan sekitar Kajang selepas usaha mengesannya dijalankan pihak polis.
"Wanita yang dilaporkan hilang itu didapati berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Siasatan mendapati sepanjang tempoh menghilangkan diri, mangsa dipercayai menginap di sebuah hotel di Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, hasil maklumat diperoleh mendapati tekanan berkaitan pekerjaan dipercayai menjadi antara faktor wanita terbabit bertindak menghilangkan diri.
Sehubungan itu katanya, polis merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat sehingga mangsa berjaya ditemui.
"Polis juga menasihatkan orang ramai yang berdepan tekanan emosi atau masalah peribadi supaya mendapatkan bantuan serta khidmat nasihat daripada pihak berkaitan.
"Masyarakat boleh menghubungi talian Kasih 15999 bagi mendapatkan nasihat kaunseling atau bantuan pakar dalam menguruskan tekanan,” katanya.
Terdahulu, polis mencari seorang wanita bernama Nur Dinie Sani Hasrul Sani yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu.
Nazron berkata, laporan kehilangan wanta berusia 25 tahun itu diterima pihaknya pada jam 12.16 tengah hari.
Menurutnya, wanita itu dipercayai hilang kira-kira jam 6.30 pagi dan alamat terakhirnya ialah Apartment Sri Cempaka, Jalan Sepakat Indah 2/1, Taman Sepakat, Kajang.

