Tekanan Luar Punca Pasangan Di Sabah Pilih Keluarga Lebih Kecil

LocalBusiness & Finance
5 Sep 2024 • 10:20 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KOTA KINABALU – Gabungan faktor tekanan ekonomi, kebimbangan kesihatan, dan aspirasi kerjaya menyebabkan pasangan moden di Sabah memilih mempunyai keluarga yang lebih kecil, perubahan ketara berbanding keluarga lebih besar empat dekad lalu.

Statistik terkini mendedahkan Sabah mengalami penurunan kadar kesuburan (TFR) terpantas di negara ini, dengan ramai pasangan berusia pertengahan 40-an, khususnya di Kota Kinabalu, berkata kesemua perkara ini sebagai faktor utama mereka memilih mempunyai bilangan anak yang sedikit.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Sabah mencatatkan kadar kesuburan ketiga terendah di negara ini, dengan purata 1.4 anak bagi setiap keluarga pada 2020. 

Tambahnya, Sabah menyaksikan penurunan kesuburan paling pesat, menurun daripada 5.5 kanak-kanak bagi setiap keluarga pada tahun 1980 kepada hanya 1.4 anak hari ini.

Selain pilihan peribadi, beberapa cabaran khusus dihadapi sesebuah negeri mungkin memburukkan lagi isu ini.

Sabah berdepan antara kos sara hidup tertinggi di Malaysia, dengan harga barangan sekitar 30% lebih tinggi berbanding di Semenanjung. 

Di samping itu, negeri ini mempunyai kadar pengangguran sebanyak 7.5%, jauh melebihi purata nasional sebanyak 3.5%. Sabah juga berada pada kedudukan tinggi dalam tahap kemiskinan, dengan salah satu penduduk terbesar menerima bantuan kebajikan.

Pada 2022, Jabatan Kebajikan Masyarakat mengagihkan RM2.4 bilion bantuan kebajikan di seluruh negara, dengan Sabah menerima peruntukan besar susulan kadar kemiskinannya yang tinggi, khususnya di kawasan luar bandar.

Kos sara hidup yang semakin meningkat dilihat sebagai salah satu penghalang utama untuk mempunyai keluarga yang lebih besar.

Penduduk tempatan, Yap Bit Leong berkata membesarkan anak hari ini adalah "sama mahal dengan membeli banglo."

“Dalam kebanyakan keluarga Cina, hanya ada seorang atau dua anak sekarang. Ibu bapa sering mengadu membesarkan anak menelan belanja yang besar. Saya berasal daripada keluarga enam adik-beradik, tetapi hari ini, kami semua hanya mempunyai seorang atau dua orang anak sahaja.”

Yap menyifatkan perubahan ini bukan sahaja disebabkan oleh faktor ekonomi tetapi juga perubahan gaya hidup.

“Datuk nenek kami sering berkata lebih ramai anak, lebih baik, kerana mereka diperlukan untuk tenaga kerja seperti bercucuk tanam. Tetapi sekarang, dengan kebanyakan kita bekerja di pejabat, apakah tenaga kerja yang kita perlukan?” Soalnya.

Yap juga menegaskan ramai wanita di Sabah menghadapi cabaran kesihatan yang menyukarkan kehamilan, terutamanya apabila mereka berkahwin lewat.

“Ramai pasangan di Sabah cenderung berkahwin pada usia lanjut, ketika mereka berada di puncak kerjaya. Ini menjadi satu lagi isu apabila ingin mempunyai anak,” katanya.

Tambahan pula, tuntutan kewangan untuk membesarkan anak, ditambah dengan komitmen kerja, menyukarkan lagi untuk mempunyai keluarga yang lebih besar.

“Ia bukan sahaja perbelanjaan harian seperti yuran tuisyen, insurans, dan aktiviti kokurikulum.

“Kedua-dua ibu bapa sering bekerja, dan jika tiada ahli keluarga boleh membantu, siapa yang akan menjaga anak-anak pada waktu bekerja? Siapa yang akan menjemput mereka dari sekolah atau membantu mereka membuat kerja rumah?” Kata Yap.

Menurut Jabatan Perangkaan, purata umur perkahwinan di Sabah meningkat kepada 31 bagi lelaki dan 29 bagi wanita, berbanding 22 bagi wanita dan 26 bagi lelaki pada 1970-an. 

Peralihan dalam umur perkahwinan ini juga menyumbang kepada saiz keluarga yang lebih kecil, kerana pasangan menangguhkan untuk mempunyai anak.

Faktor Kesihatan

Penjawat awam Asriyani Sumaseh menyuarakan sentimen ini, menegaskan kebimbangan kesihatan sebagai faktor utama dalam perancangan keluarga.

“Sebab utama kami mengehadkan diri kepada kurang tiga anak adalah kerana faktor umur dan kesihatan. Ia bukan tentang ketidaksuburan, tetapi mengenai risiko yang datang dengan kehamilan lewat. Hamil selepas usia 45 tahun boleh mendatangkan risiko kesihatan,” katanya.

Asriyani juga berkata tekanan awal dalam perkahwinan boleh menjejaskan kesuburan, dengan pasangan muda sering menghadapi tekanan kewangan dan emosi yang menjejaskan keupayaan mereka untuk mempunyai anak.

Pensyarah Aries Henry Joseph menegaskan sokongan keluarga, yang dahulunya biasa dalam isi rumah lebih besar, kini semakin berkurangan.

“Membesarkan keluarga memerlukan sokongan keluarga yang baik, yang tidak dimiliki oleh ramai pasangan hari ini.

"Ahli keluarga besar, seperti ibu bapa, boleh membantu dengan isu penjagaan anak, tetapi tidak semua orang mempunyai kemampuan sebegitu," katanya.

Aries percaya kemerosotan kadar kesuburan di Sabah juga mungkin disebabkan perubahan keutamaan generasi.

“Generasi muda lebih tertumpu pada kebebasan peribadi, matlamat kerjaya, dan menikmati kehidupan, seperti melancong. Faktor-faktor ini mempengaruhi keputusan mereka untuk mempunyai keluarga lebih kecil,” tambahnya.

Pekerja sektor swasta Karen Quah juga berkata wanita hari ini lebih berdikari dan fokus pada kerjaya mereka.

“Wanita sekarang bekerja dan berdikari. Mereka tahu apa yang dimahukan dan tidak kisah jika tidak berkahwin dan mempunyai anak. Apabila mereka memilih pasangan, ia juga mengenai teman hidup dan bukannya membina unit keluarga,” katanya.

Anak Adalah Rezeki

"Masa telah mengubah pemikiran, dengan ibu bapa menjadi kurang mendesak dan lebih memahami tuntutan kehidupan."

Walaupun pasangan moden memilih keluarga lebih kecil, ada yang berpegang pada kepercayaan tradisional mengenai saiz keluarga.

Sebagai contoh, pendidik Sudirman Sinti berkata beliau dan isteri menganggap anak sebagai rahmat atau rezeki.

“Kami tidak mengehadkan bilangan anak yang kami ada. Kita biarkan ia mengikut rezeki yang Allah berikan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut mengakui kestabilan kewangan memainkan peranan dalam perancangan keluarga.

“Semakin ramai anak anda, semakin banyak rezeki yang anda kongsi. Tetapi pertimbangan ini hanya boleh dilakukan jika kedua-dua ibu bapa mempunyai kerjaya yang baik dan pendapatan stabil.”

Juruterbang Siti Solehah pula berkata walaupun anak adalah rezeki, ia juga datang dengan tanggungjawab yang besar.

“Terdapat garis halus antara rezeki dan tanggungjawab. Menjadi dosa apabila ibu bapa mempunyai anak di luar kemampuan dan tidak dapat menjaga mereka dengan baik,” katanya.

“Rezeki adalah rahmat, tetapi mempunyai ramai anak tanpa kemampuan menjaga mereka boleh bertukar menjadi dosa besar kerana anak adalah ‘amanah’ (tanggungjawab). Jika anda tidak dapat menjaga mereka dengan baik, ia berdosa,” katanya. – Getaran, 5 September 2024