
SEREMBAN – Tekanan pada bahagian leher dikenal pasti sebagai punca kematian seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang ditemukan maut di kediamannya di kompleks perumahan awam di Nilai.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, perkara itu berdasarkan dapatan awal bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan turut menemukan tiga kesan tikaman menggunakan senjata tajam pada tubuh mangsa.
“Dua kesan tikaman ditemukan di bahagian perut, manakala satu lagi di pipi kanan,”katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, bedah siasat dijalankan Dr Akma Nurain Fairuz Mahamad Arif bermula pukul 9.40 pagi hingga 2.30 petang, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pegawai kerajaan berusia 35 tahun ditemui maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di sebuah unit kuarters KLIA, kira-kira pukul 7.30 malam tadi.
Suspek berusia lingkungan 30-an dipercayai menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang sekitar pukul 8 malam. -KOSMO! ONLINE
The post Tekanan pada leher punca kematian pegawai AKPS appeared first on Kosmo Online.





