
Walaupun sudah lebih tujuh tahun berpengalaman menjadi jurupandu pancing (fishing guide) di Empangan Kelau, Raub, Pahang, namun pendekatan di Perancis memerlukan penyesuaian buat Zahrin.
Dalam tempoh beberapa hari di sana, dua teknik utama digunakan, iaitu mengilat gewang dengan bantuan sonar dan berhanyut bot sambil menghulurkan umpan hidup dengan pelampung.
Bantuan sonar
Pada hari pertama, teknik casting dari atas bot menjadi pilihan utama dengan sonar digunakan untuk mengenal pasti kedalaman dan bentuk dasar lubuk serta kedudukan ikan.
Gewang utama yang digunakan ialah Zeck Blinker Jorg Octo Spoons, sejenis sesudu istimewa untuk menggoda wels catfish.
Ikan gergasi ini mempunyai tabiat bergerak mencari makanan dan tidak semestinya berkumpul di satu lubuk untuk tempoh panjang.
Justeru, pencarian dilakukan secara aktif dengan bot bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain sambil skrin sonar diperhatikan serta gewang dilontar ke kawasan berpotensi.
Namun, teknik mengilat gewang bukan semestinya sukses 100 peratus. Ada ketikanya, pemancing tempatan di sana akan mengubah teknik pancingan bersesuaian dengan keadaan air sama ada keruh atau jernih.
Apabila air sungai menjadi keruh, pemancing di sana biasanya akan bertukar kepada pancingan dasar atau berpelampung dengan menggunakan umpan ikan belanak air tawar (freshwater mullet) yang hidup di habitat sama dengan wels catfish.

Pancing dasar biasanya akan dilakukan dari tebing (land based), manakala berpelampung pula lebih mudah diaplikasikan dengan berhanyut bot.
Jika dibandingkan antara kedua-dua pendekatan tersebut, didapati memancing dengan menggunakan bot lebih efektif berbanding dari tebing.
Ini kerana lebih luas kawasan pancingan dapat diterokai, sekali gus membuka lebih ruang untuk berjaya mendapatkan wels catfish.
Pancing berpelampung
Persembahan pancingan (rigging) yang digunakan merupakan perambut saiz kasar dan tebal yang diikat mata kail saiz besar di hujungnya dan satu pelampung bulat akan dipasang bagi mengelak umpan hidup tenggelam.
Umpan ikan hidup akan dilontar dalam jarak kira-kira 10 meter dari bot ke arah kawasan bereba dan dibiarkan hanyut mengikut pergerakan arus bersama-sama dengan bot.
Dalam masa sama, umpan akan ditarik jika melepasi kawasan berpotensi dan dilempar semula ke arah reba-reba yang lain.
Oleh kerana wels catfish mampu membesar hingga mencapai panjang beberapa meter dan berat ratusan kilogram, pancingannya memerlukan peralatan yang dapat menanggung tekanan tinggi sepanjang pertarungan.
Pemancing selalunya akan menggunakan joran berkekuatan PE8 sepanjang kira-kira tujuh kaki yang dipasang kekili spinning saiz 8000 dan diisi tali braided berkekuatan antara 150 hingga 200 paun (lb).
‘Kayu ajaib’
Seperkara yang paling menarik perhatian adalah penggunaan satu gajet yang dipanggil clonk.
Ia merupakan satu alat diperbuat daripada kayu berbentuk huruf ‘L’ yang digunakan untuk menghasilkan bunyi kocakan di permukaan air.
Clonk dibuat dengan pemegang di bahagian yang pendek dan satu bentuk seperti cendawan bulat di hujung bahagian panjang.
Bentuknya yang unik ini membolehkan pemancing menghasilkan bunyi ‘klonk, klonk, klonk’ setiap kali ia diketuk atau dipukul di permukaan air bersebelahan dengan bot. Disebabkan bunyinya itulah alat ini mendapat nama clonk.
Rupa-rupanya, wels catfish ini senang tertarik kepada bunyi yang muncul di permukaan air.
Ia berkemungkinan bunyi kocakan tersebut menyerupai bunyi ikan, burung atau mamalia kecil, sedang mengelupur di permukaan air akibat ada masalah atau sakit.

Bagi wels catfish, ia mungkin sumber makanan yang mudah baginya. Jadi, ia akan keluar dari kubunya yang berupa reba-reba di dalam air, lantas merapati kawasan kocakan dan bunyi tersebut.
Apabila sudah naik ke permukaan air, apa yang didapatinya pula adalah umpan ikan hidup tersua di mulutnya, dan sudah tentu lebih memudahkan tugas pemancing.
Teknik buru wels dan tapah
Teknik memburu wels catfish mempunyai sedikit persamaan dengan pancingan ikan tapah di negara kita.
Kedua-duanya merupakan pemangsa sungai bersaiz besar yang boleh diburu menggunakan gewang atau umpan ikan hidup.
Cuma skala pertarungannya berbeza berdasarkan saiz ikan kerana ternyata pancingan ikan wels memerlukan set pancingan yang berkali ganda lebih kuat berbanding ikan tapah.
Kemudian, populasi ikan wels masih banyak kerana lebih terjaga dengan peraturan tangkap dan lepas (catch and release) perikanan Perancis yang ketat.
Berbanding negara kita, biasanya pemancing dan nelayan akan membawa balik tangkapan ikan tapah sebagai hidangan atau hasil jualan hingga membuatkan populasinya semakin merudum.
Pengalaman Zahrin memancing wels catfish di Sungai Seine turut menunjukkan kepentingan pemancing untuk menyesuaikan teknik mengikut keadaan, walaupun ketika berada di dunia asing.
Situasi seperti ini biasa dalam dunia memancing tidak kira di mana sahaja di dunia ini.
Teknik yang menghasilkan ikan pada satu hari itu mungkin kurang berkesan pada hari berikutnya.
Sebab itu pengalaman di padang pancing sendiri masih lagi belum mencukupi jika kita pergi ke tempat orang.
Ilmu dan pengalaman daripada pemancing tempatan lebih menjadi kerana itu padang pancing mereka.
Daripada Kelau ke Sungai Seine, spesies dan persekitaran mungkin berbeza, tetapi asas pemancingan tetap sama iaitu memahami tabiat ikan, membaca keadaan air dan menyesuaikan teknik pancingan dengan keadaan semasa di lapangan.
The post Teknik pancingan wels catfish appeared first on Kosmo Digital.


