sarah11/11/2026 - 12:19 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Nov - Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) berpotensi meningkatkan pengeluaran sarung tangan getah sebanyak 16% bagi setiap barisan, selain mengurangkan keperluan tenaga kerja sehingga 26% menerusi penggunaan teknologi baharu di kilangnya di Sepang.
Menurut CGS International (CGSI), lawatan ke kilang berkenaan pada 29 Oktober 2026 menunjukkan teknologi pengeluaran terbaharu Hartalega berpotensi menetapkan penanda aras baharu industri, khususnya dari segi produktiviti dan kecekapan penggunaan tenaga kerja.
Firma penyelidikan itu berkata, teknologi yang mula digunakan pada suku pertama tahun kewangan 2027 membolehkan pengeluaran meningkat kepada 52,000 sarung tangan sejam bagi setiap barisan, berbanding 45,000 sejam menggunakan teknologi terdahulu yang diperkenalkan pada 2012.
Lebih penting, CGSI menganggarkan keperluan tenaga kerja dapat dikurangkan daripada 2.3 kepada 1.7 pekerja bagi setiap sejuta sarung tangan dihasilkan, sekali gus membantu Hartalega mengawal kos ketika perbelanjaan buruh menyumbang kira-kira 10% hingga 15% daripada keseluruhan kos pengeluaran.
Firma itu berkata, peningkatan kecekapan berkenaan semakin penting berikutan kenaikan gaji minimum Malaysia daripada RM900 sebulan pada 2012 kepada RM1,700 ketika ini, dengan peningkatan selanjutnya kepada RM2,000 dijangka pada pertengahan 2027 seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027.
CGSI berpandangan, penggunaan teknologi baharu itu turut berpotensi membantu Hartalega merapatkan jurang kos pengeluaran dengan pengeluar sarung tangan China, sekiranya keseluruhan kemudahan pengeluarannya dinaik taraf kepada teknologi berkapasiti 52,000 sarung tangan sejam.
Menurut firma itu, pengurusan Hartalega percaya peningkatan kecekapan pembuatan merupakan pendekatan lebih sesuai untuk meningkatkan daya saing berbanding mengembangkan perniagaan kepada pengeluaran bahan mentah, peralatan dan penjanaan tenaga seperti yang dilakukan sesetengah pesaing di China.
Dari segi kewangan, CGSI mengunjurkan keuntungan bersih Hartalega meningkat daripada RM103 juta bagi tahun kewangan berakhir Mac 2026 kepada RM172.6 juta pada 2027 dan RM217.1 juta pada 2028.
Bagaimanapun, CGSI mengekalkan saranan 'reduce' terhadap Hartalega dengan harga sasaran RM1 sesaham kerana menjangkakan pemulihan margin keuntungan lebih perlahan berbanding pesaing, selain mengambil kira peningkatan harga saham baru-baru ini. Firma itu turut menjangkakan margin keuntungan belum pulih sepenuhnya ke paras sebelum pandemik menjelang tahun kewangan 2029.- DagangNews.com






