liza02/11/2026 - 11:05 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov – Hartalega Holdings Berhad meningkatkan kecekapan pengeluaran menerusi naik taraf teknologi di kilang Sepang, Selangor yang membolehkan kapasiti pengeluaran meningkat 16% kepada 52,000 unit sarung tangan sejam, selain mengurangkan keperluan tenaga kerja kira-kira 26%, menurut CGS International Securities (CGSI).
Firma penyelidikan itu berkata peningkatan kapasiti tersebut akan membantu pengeluar sarung tangan berkenaan mengawal kos operasi ketika berdepan kenaikan gaji minimum dan tekanan kos buruh yang semakin meningkat.
“Ini juga membuka ruang kepada kumpulan itu merapatkan jurang kos pengeluaran dengan pesaing dari China.
“Hasil lawatan kami ke kilang tersebut mengukuhkan pandangan bahawa pembaharuan teknologi terkini Hartalega berupaya menjadi penanda aras kecekapan pengeluaran dalam industri sarung tangan,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
Pengeluaran meningkat, keperluan pekerja berkurangan
Menurut CGSI, kapasiti pengeluaran di kilang berkenaan meningkat daripada 45,000 unit sejam yang dicapai menerusi naik taraf teknologi pada 2012 kepada 52,000 unit sejam selepas teknologi baharu mula beroperasi pada suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY2027).
Bagaimanapun, manfaat lebih besar daripada peningkatan kapasiti itu ialah pengurangan intensiti penggunaan tenaga kerja dengan CGSI menganggarkan keperluan pekerja boleh dikurangkan daripada 2.3 kepada 1.7 orang bagi setiap sejuta sarung tangan yang dihasilkan.
“Pengurangan kira-kira 26% itu dilihat penting memandangkan kos buruh menyumbang sekitar 10% hingga 15% daripada keseluruhan kos pengeluaran Hartalega, menurut pihak pengurusan.
“Tekanan kos itu turut mengambil kira kenaikan gaji minimum Malaysia daripada RM900 sebulan pada 2012 kepada RM1,700 ketika ini, selain peningkatan selanjutnya kepada RM2,000 sebulan yang dijangka berkuat kuasa pada pertengahan 2027 seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027,” katanya.
Kecekapan pembuatan jadi strategi hadapi pesaing China
Dalam usaha mencapai daya saing kos, pengurusan Hartalega percaya peningkatan kecemerlangan pembuatan menerusi teknologi dan kecekapan operasi merupakan pendekatan terbaik berbanding melaksanakan integrasi menegak.
CGSI berkata, pengurusan menganggarkan kos pengeluaran Hartalega boleh menjadi AS$0.50 hingga AS$1 lebih rendah bagi setiap 1,000 unit sarung tangan berbanding Intco Medical, sekiranya keseluruhan kemudahan pengeluarannya dinaik taraf menggunakan platform teknologi baharu berkapasiti 52,000 unit sejam menjelang akhir 2028.
Intco Medical mempunyai kelebihan daya saing bukan sahaja melalui skala pengeluaran besar, malah ekosistem perniagaan bersepadu yang merangkumi bahan mentah, acuan, peralatan pengeluaran dan penjanaan tenaga.
Bagaimanapun, pengurusan Hartalega berpandangan usaha meniru model perniagaan bersepadu seperti itu tidak semestinya memberikan pulangan terbaik kepada pemegang saham memandangkan kumpulan berkenaan tidak mempunyai kepakaran setara dalam bidang perniagaan berkaitan.
CGSI kekal saranan ‘Reduce’
Dari sudut kewangan, CGSI mengunjurkan hasil Hartalega meningkat kepada RM2.76 bilion pada FY2027 berbanding RM2.14 bilion pada FY2026, sebelum berkembang kepada RM3.02 bilion pada FY2028 dan RM3.44 bilion pada FY2029.
Keuntungan bersih pula dijangka meningkat daripada RM103 juta pada FY2026 kepada RM172.6 juta pada FY2027, RM217.1 juta pada FY2028 dan RM282.4 juta pada FY2029.
Walaupun mengiktiraf usaha pengoptimuman kos dan peningkatan kecekapan operasi itu, CGSI mengekalkan saranan ‘Reduce’ terhadap Hartalega dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1 berbanding harga saham RM1.25 ketika laporan dikeluarkan pada 30 Oktober 2026.
CGSI berpendapat kenaikan harga saham kira-kira 17% sejak 22 Oktober lalu telah menyebabkan penilaian saham mendahului pertumbuhan keuntungan, selain pemulihan margin kumpulan dijangka lebih perlahan berbanding pesaing dan belum kembali sepenuhnya ke paras sebelum pandemik menjelang FY2029.
Firma penyelidikan itu turut mengenal pasti risiko ketepuan dalam segmen sarung tangan khusus (specialty gloves) yang boleh menjejaskan jumlah jualan, selain penyusutan nilai infrastruktur yang lebih pantas daripada jangkaan.
Sebaliknya, pengurangan kapasiti pengeluaran sarung tangan lama dalam industri serta kelewatan operasi kemudahan pengeluaran baharu China di luar negara boleh meningkatkan permintaan terhadap produk Hartalega dan mengurangkan tekanan persaingan. - DagangNews.com






